TINDAKAN sebuah parti politik yang mengusung ubi kayu semasa perarakan hari penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Kuala Kubu Baharu minggu lalu pada fikiran penulis agak dangkal.
Hal ini kerana usaha mempolemikkan isu ubi kayu semasa kempen pilihan raya bukan sahaja tidak memberi apa-apa impak kepada khalayak umum tetapi juga memperlihatkan rendahnya ilmu dan strategi politik pihak berkenaan.
Isu makan ubi kayu sebagai alternatif kepada kekurangan bekalan beras ditimbulkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang sekali gus mengundang kecaman dan kritikan khususnya parti politik pembangkang.
Malangnya bagi kita, rakyat Malaysia dan generasi muda apabila banyak isu cuba untuk dipolitikkan sebegitu rupa sehingga boleh menimbulkan persepsi buruk sedangkan lontaran idea berkenaan suatu yang baik untuk dibincangkan.
Ubi kayu merupakan makanan yang mempunyai banyak kebaikan dan khasiat termasuk mampu menguatkan tulang dan gigi. Selain itu, ubi kayu juga tinggi karbohidrat untuk tenaga serta meningkatkan imuniti badan.
Malah ubi kayu dikatakan mampu mencegah anemia, baik untuk penghadaman serta mengawal tekanan darah dan jantung.
Ramai dalam kalangan kita tentu belum lupa ketika zaman penjajahan Jepun serta era Darurat di Tanah Melayu menyebabkan ketiadaan bekalan beras untuk dimakan.
Rakyat ketika itu terpaksa mencatu beras yang dicampur dengan kapur untuk memastikan tahan lama selain hanya makan ubi kayu yang dimasak sambal, manakala biji getah dijadikan tempe.
Ketika itu, keledek dan jagung juga menjadi sumber makanan alternatif bagi mengelak kebuluran.
Hari ini, ubi kayu menjadi hidangan istimewa. Penulis semasa menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri sebuah syarikat korporat besar negara baru-baru ini turut dihidangkan dengan menu ubi kayu berserta pencecah yang sangat enak.
Penulis sangat berharap kita usah perlekehkan ubi kayu kerana tanaman ini juga mempunyai potensi sebagai bahan makanan ternakan dan bahan mentah dalam pembuatan sirap fruktosa-glukosa kandungan tinggi iaitu sejenis pemanis.
Selain itu, ubi kayu boleh menjadi pengganti separa tepung gandum serta ada kajian boleh dijadikan bahan biodisel!
Hari ini kita boleh mentertawakan isu ubi kayu, namun penulis pada Oktober tahun lalu pernah mengutarakan mengenai apa yang kita atau anak-anak kita akan makan 30 tahun akan datang.
Berdasarkan unjuran semasa, pada tahun 2054, rakyat Malaysia ketika itu dianggarkan boleh melepasi 45 juta orang. -KOSMO! ONLINE
















