fbpx
Penduduk Felda Raja Alias 1, Jempol, Rogayah Ahmad dan jirannya, Adenan Rauf, menyiram bumbung rumah masing-masing sebagai kaedah mengurangkan bahang ekoran cuaca panas yang melanda ketika ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Cuaca panas di Malaysia tak sama dengan Myanmar, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cuaca panas yang melanda negara ketika ini berbeza dengan negara serantau termasuk Myanmar dan Thailand sekali gus menafikan dakwaan kononnya Malaysia akan mengalami fenomena gelombang haba sepanjang bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (Metmalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca panas di utara dan timur Semenanjung serta di pedalaman Sabah ketika ini masih terkawal berbanding negara lain.

Katanya, cuaca panas di Malaysia tidak sama dengan negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan termasuk Myanmar dan Thailand seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Di Malaysia, cuaca panas di­jangka reda tetapi masih boleh berlaku terutama di utara dan timur Semenanjung serta di pedalaman Sabah pada Mei ini tetapi tidak seserius seperti didakwa.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian, gelombang haba ketika ini hanya tertumpu kepada negara-negara yang berkedudukan di utara Malaysia seperti India, Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhammad Helmi, situasi cuaca panas ekstrim dengan suhu melebihi 40 darjah Celcius berlaku setiap tahun kerana negara-negara tersebut akan mengalaminya bermula Jun hingga September.

Tambahnya, keadaan yang panas tersebut boleh memberi risiko kesihatan kepada mereka yang berkunjung ke negara ber­kenaan.

“Orang ramai yang ingin berkunjung ke India, Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga keadaan diri seperti yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum ini,” kata­nya.

Ujar Muhammad Helmi, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sesuatu maklumat yang tersebar dan sentiasa peka dengan kea­daan cuaca persekitaran dan perlu membuat semakan pada pihak berkuasa.

“Segala maklumat sahih mengenai cuaca boleh dirujuk di laman sesawang, https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ pada pukul 4.30 petang setiap hari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN