fbpx
Hiasan renda berwarna putih pada sofa menaikkan seri rumah era kolonial.

K2

Perabot pusaka serlah elemen vintaj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARANGAN pusaka turun-temurun memiliki nilai nostalgia dan sentimental yang tidak ternilai.

Selain reka bentuknya yang mewakili era-era tertentu, barangan tersebut sering kali menyimpan seribu kenangan peribadi.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya sesetengah pemilik rumah memilih untuk melibatkan barangan pusaka ke dalam hiasan dalaman kontemporari.

Pemilik rumah, Salmiah Bujang berkata, koleksi barangan pusaka neneknya merupakan antara elemen dalam tatarias banglo dua tingkat di Bintulu, Sarawak itu.

Koleksi tersebut adalah almari dan meja marmar berusia lebih 100 tahun yang dibeli neneknya ketika berurusan dengan saudagar dari China.

Ujar wanita berusia 60 tahun itu, tidak sukar untuk menjaga perabot-perabot lama kerana ia diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi.

“Sewaktu ayah saya masih kecil, nenek suka membeli perabot rumah daripada saudagar Cina dan ia diimport dari China.

“Saya tak pasti jenis kayu perabot-perabot ini, tetapi ia mudah dijaga. Selama hampir seabad bersama saya, hanya sekali saya syelek perabot-perabot ini,” katanya kepada K2.

Barangan bersifat oriental klasik itu diletakkan di antara ruang tamu dan dapur.

Biarpun sudah lebih seabad, namun perabot-perabot tersebut masih elok dan boleh digunakan.

Bagi menjadikan tatariasnya senada, wanita itu memasang kabinet dapur yang diperbuat daripada kayu nyatuh.

Kemudian, unsur-unsur vintaj seperti hiasan-hiasan kecil ditambah dalam dekorasinya.

Unsur vintaj dengan elemen era kolonial sekitar 1900-an tersebut dibelinya di kedai-kedai hiasan dalaman dengan harga murah.

Sedang elok, Salmiah juga gemar mengumpul barangan lama seperti hiasan seramik dan tembaga.

“Sebahagian koleksi-koleksi ini dijadikan sebagai aksesori di dalam atau di atas almari dan meja.

“Manakala sebahagian lagi, saya menukarnya kepada hiasan berfungsi. Sebagai contoh, seramik dan bekas peram telur masin digunakan sebagai pasu bunga,” katanya.

Kabinet dapur ini diperbuat daripada kayu nyatuh.

Tambah peminat orkid itu, unsur-unsur bunga pelbagai warna penting bagi menyerikan lagi suasana kediamannya.

Oleh itu, Salmiah meletakkan enam pasu bunga orkid palsu di sekitar rumahnya yang berkeluasan 278.7 meter persegi.

Uniknya, pokok-pokok tiruan tersebut kelihatan seperti hidup dengan sedikit ‘helah’ yang digunakan oleh Salmiah.

“Bunga orkid palsu ini kalau pandai gubah, kita boleh jadikan ia nampak seperti hidup.

“Rahsianya, saya lilitkan bunga palsu tadi dengan batang pokok hidup dan tutupnya dengan daun-daun artifisial,” jelasnya lagi.

Salmiah juga menambah unsur-unsur renda berwarna putih yang dikait sendiri pada sarung bantal, alas meja serta langsir.

Warna putih dipilih pada hiasan-hiasan tersebut bagi menghidupkan lagi suasana era kolonial British ke dalam dekorasinya.

Kongsi wanita itu, dia tidak menggilap kebanyakan barangnya bagi mengekalkan unsur-unsur vintaj.

“Setiap tahun, saya cuma ubah posisi barangan ini agar ia kelihatan kemas dan segar.

“Saya sukakan konsep ini dan sering merujuk filem dan majalah untuk mendapatkan inspirasi,” jelasnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN