SEBERANG PERAI – Seorang doktor wanita di Kepala Batas di sini yang berhasrat membeli tiga beg berjenama kerugian wang sebanyak RM10,800 apabila dia dipercayai menjadi mangsa penipuan penjualan online semalam.
Mangsa berusia 36 tahun itu tertarik dengan beg-beg tangan berjenama itu selepas dia melihat gambar di laman sosial Instagram seorang penjual baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah berhubung dengan seorang wanita selepas berhasrat membeli tiga beg yang keseluruhannya berharga RM10,800.
“Dia terpengaruh apabila dimaklumkan bahawa harga yang ditawarkan itu adalah jauh lebih rendah berbanding di pasaran sebelum mangsa membuat dua transaksi pembayaran.
“Wanita itu bagaimanapun menyedari ditipu apabila barang yang dipesannya tidak sampai selepas dalam satu tempoh selain suspek memberi banyak alasan ketika dia meminta nombor penjejak bungkusan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis semalam.
Menurut Noorzainy, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE














