PETALING JAYA – Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana berbeza oleh seorang bapa dan tiga anaknya apabila suri hati mereka, Aya Nur Asyura Zakaria meninggal dunia akibat kanser pankreas tahap empat pada tahun lalu.
Foto empat beranak itu bergambar bersama pakaian raya arwah pada 1 Syawal tular dalam media sosial baru-baru ini sekali gus meruntun hati orang ramai.
Mohamad Firdaus Zainal Abidin, 44, berkata, menjadi kelaziman, setiap kali raya mereka lima beranak akan bergambar bersama sebelum iin.
“Pagi raya baru-baru ini, anak bongsu tanya macam mana nak rakam foto sebab mama sudah tiada.
“Jadi untuk memujuk hatinya, saya ambil pakaian raya yang dipakai oleh arwah isteri pada tahun lepas sebagai pengganti kehadirannya,” katanya yang menetap di Bukit Beruntung, Hulu Selangor semalam.
Cerita Mohamad Firdaus, pada awalnya, isterinya yang merupakan seorang guru kaunselor mengalami kesakitan di belakang badan dan sukar membuang air besar sebelum disahkan menghidap kanser pankreas.
Jelasnya, pada mulanya, dia sedih menerima perkhabaran itu, namun cuba kuat demi isteri dan anak-anak yang berusia 10 hingga 18 tahun.
“Pelbagai rawatan dilakukan, namun takdir Allah lebih baik. Dia pergi pada hari raya Aidiladha tahun lepas selepas dua bulan melawan kanser. Mungkin sel kanser sudah merebak,” kata eksekutif di sebuah syarikat automobil itu.
Mohamad Firdaus mengakui dia bagaikan hilang arah selepas kematian arwah isterinya.
“Enam bulan pertama (kehilangan isteri) memang sukar, anak-anak kemurungan, malah kenangan bersama isteri masih bermain dalam fikiran.
“Kami sambut Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana yang berbeza. Anak sulung banyak bantu uruskan persiapan.
“Apa sahaja yang saya lakukan pasti saya teringatkan arwah isteri. Saya perlu kuat kerana saya sudah berjanji dengan arwah untuk menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya.
“Ada orang minta saya mencari pengganti. Maaf saya tak berminat dan tidak pernah terfikir tentang perkara itu. Kasih sayang saya terhadap arwah isteri akan sentiasa mekar di dalam hati,” katanya.
Tambah lelaki itu, dia bersyukur kerana tiga anaknya boleh menyesuaikan diri walaupun tanpa kehadiran seorang ibu di sisi.
“Saya banyak meluangkan masa dengan anak-anak lebih-lebih lagi si bongsu kerana dia begitu rapat dengan arwah isteri,” kata lelaki itu.
Sementara itu, anak sulungnya, Airell Haiqal, 18, memberitahu, arwah ibunya ada meninggal pesan supaya menjaga adik-adik dan bapanya.
“Mama pesan jangan bergaduh dengan adik-adik dan minta maaf kalau dia memahami tentang Airell sebab saya anak sulung,” katanya.















