fbpx
KESESAKAN trafik di China yang berlaku pada 0gos 2010 memakan masa selama 12 hari.

Lima kesesakan jalan raya ‘terazab’ di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESESAKAN lalu lintas sering menjadi mimpi ngeri kepada sesetengah orang terutamanya sewaktu musim perayaan.

Di Malaysia, durasi 12 hingga 24 jam boleh dianggap tempoh biasa yang perlu ditempuhi pemandu khususnya mereka pulang ke negeri-negeri di Pantai Timur pada musim perayaan.

Sekiranya kita merasakan 12 jam adalah satu tempoh sangat lama, bagaimana pula dengan orang lain di negara luar yang terpaksa menempuh perjalanan lebih lama daripada itu.

Berikut adalah lima kesesakan trafik mencapai tahap ekstrem mengikut tempoh terpanjang pernah direkodkan dalam sejarah dunia sehinggakan ada pemandu yang terpaksa bermalam bukan sehari, malahan berhari-hari di atas jalan raya.

Kesemua kes mengenai kesesakan tersebut disenaraikan oleh beberapa portal, antaranya autoevolution.com, iluminasi.com dan The Times of India.

Beijing-Tibet, China (sesak 100km selama 12 hari)

Ini merupakan insiden yang akan terus diingati kerana memegang rekod sebagai kesesakan jalan raya paling lama di dunia yang memakan masa 12 hari sebelum ia dapat disuraikan.

Ia berlaku di jalan Beijing-Tibet, China pada Ogos 2010 disebabkan trak-trak yang membawa arang batu dari Tibet ke Beijing bergerak terlalu lembab.

Ekoran itu ramai pemandu yang terpaksa bermalam berhari-hari lamanya di dalam kereta, banyak kes-kes lain turut berlaku termasuk rompakan dan kecurian.

Jarak kesesakan sepanjang 100 kilometer (km) itu memberi peluang kepada penduduk sekitar menjual barangan seperti makanan serta pakaian pada harga tidak masuk akal.

Ada banyak juga kenderaan tidak dapat bergerak selepas minyak di dalam tangki dicuri semasa mereka nyenyak tidur. Ia dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang turut terperangkap dalam kesesakan.

Lyon-Paris, Perancis (sesak 175km selama dua hari)

Disebabkan situasi sukar akibat cuaca buruk, pemandu-pemandu menghala ke Paris daripada Lyon, Perancis terperangkap dalam kesesakan yang dianggarkan sepanjang 175km.

Kesesakan itu dikatakan berlaku disebabkan terlalu ramai warga Paris berkunjung ke pergunungan Alps bagi percutian dan pulang pada waktu sama.

Ia ditambah lagi dengan cuaca buruk yang menyulitkan lagi keadaan pada kejadian pada Februari 1980 itu.

Ekoran tidak ada tempat lain untuk pergi berehat, ramai yang terpaksa duduk di dalam kereta selama dua hari sebelum trafik berjaya disuraikan.

 

Jerman Timur-Jerman Barat (sesak 48km selama tiga hari)

Ekoran runtuhnya Tembok Berlin yang memisahkan kedua-dua belah Jerman, sambutan hari Easter menyebabkan orang ramai merancang menghabiskan cuti selepas dipisahkan sekian lama bersama saudara-mara.
Jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan sebelum itu secara puratanya mempunyai kapasiti setengah juta kenderaan sehari.

Bagi sambutan tersebut iaitu pada April 1990, lebih 18 juta kenderaan direkodkan membanjiri jalan raya, sekali gus menyukarkan kawalan dan operasi.

Walaupun ramai tersangkut selama lebih tiga hari di atas jalan raya, namun semangat mereka menyeberangi Tembok Berlin tetap tidak hilang.

Mereka sanggup beratur sepanjang 48km dengan barisan menunggu untuk mengisi minyak petrol selama lebih empat jam.

 

Kesesakan kenderaan di Lyon-Paris berlaku disebabkan cuaca buruk.

 

Moscow-St. Petersburg, Russia (sesak 100km selama tiga hari)

Berdepan salji yang mencapai ketinggian lebih 0.5 meter di beberapa kawasan memaksa pihak berkuasa daerah sepanjang lebuh raya M10 yang menghubungkan Moscow dan St. Petersburg, Russia menutup laluan keluar atas faktor keselamatan.

Terperangkap di tengah-tengah lebuh raya, pemandu terpaksa berkurung di dalam kereta dan cuba memanaskan badan dalam suhu cukup dingin.

Dikatakan, ada dengan sesetengah pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan mereka untuk mencari sumber haba lain.

Dalam kejadian pada Disember 2012 itu, le­bih 10,000 pemandu terperangkap selama tiga hari sebelum kesesakan berjaya diselesaikan.

 

Bethel-New York, AS (sesak 100km hampir 24 jam)

Penganjuran Festival Muzik Woodstock buat julung kalinya mendapat sambutan di luar jangka dengan setengah juta peminat melakukan perjalanan dari Bethel ke New York, Amerika Syarikat (AS).

Dikatakan, penganjur hanya mampu menyediakan kapasiti 25 ribu tempat duduk dan parkir, sebaliknya pelawat yang hadir 10 kali ganda daripada jumlah tersebut.

Ia menyebabkan puluhan ribu lagi ken­deraan terpaksa beratur di jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa sepanjang 100km pada Ogos 1969.

Bimbang terlepas acara kemuncak, pengunjung mengambil langkah meninggalkan kenderaan mereka di atas jalan, lalu berjalan kaki beramai-ramai.

Kenderaan ditinggalkan telah menghalang laluan sehingga pihak penganjur terpaksa menggunakan helikopter membawa artis.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN