SETELAH lebih tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur, saya tiba di Bali, Indonesia.
Sebaik keluar dari lapangan terbang, ramai pemandu kereta menawarkan perkhidmatan menghantar pelawat ke destinasi pilihan.
Oleh kerana saya melancong secara solo, perkhidmatan Gojek (ride-hailing) lebih sesuai dan jimat untuk bergerak.
Dengan bayaran 47,000 rupiah (RM14), saya menuju ke Jeti Sanur.
Saya sudah beli tiket ke Nusa Penida menerusi Klook dengan harga RM35 dan tiket boleh ditebus di kaunter feri.
Bergantung pada cuaca, perjalanan bot dari Sanur ke Nusa Penida dianggarkan sekitar 45 minit. Bot akan berlabuh di Jeti Banjar Nyuh atau Toya Pakeh.
Nasihat saya, sekiranya mahu bermalam di Nusa Penida, lebih baik sekiranya turun di Toya Pakeh.
Kawasan ini bukan sahaja lebih meriah, makanan halal juga mudah didapati. Kebanyakan makanan halal di sini terdiri daripada nasi Padang dan makanan bergoreng serta bakso.
Harga makanan agak mahal kerana ikut ‘rate’ pulau. Terdapat juga masjid di sini, sekali gus dapat memudahkan urusan solat dan sebagainya.
Untuk beli barangan runcit, saya cadangkan beli di Toko Kayun di Toya Pakeh.

Harganya agak berpatutan berbanding di kawasan kampung.
Untuk bergerak di dalam pulau ini, lebih murah jika menyewa motosikal atau sewa kereta bersama seorang pemandu. Saya tidak galakkan untuk sewa kereta pandu sendiri. Ini kerana, jalan di Bali sangat teruk dan sempit.
Permukaan jalan tar agak beralun dengan lopak yang dalam. Bayangkan perjalanan 20 kilometer (km) mengambil masa 45 minit.
Selain itu, jalan di sini boleh dikatakan tidak ada papan tanda yang sistematik dan tiada lampu jalan.
Oleh itu, pastikan anda menggunakan aplikasi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan lampu yang cukup terang.
Antara kawasan pantai yang sempat saya lawati di sini adalah Crystal Bay, Smoky Beach, Kelingking Beach dan Kuta. Saya juga tinggal di
Ubud selama tiga hari dua malam dengan menginap di Bamboo Ubud Hostel.
Ketika di sini, saya melawat Ulu Danu Beratan (UDB) yang terletak di Bedugul.
Jarak dari Ubud sekitar 44 km, namun mengambil masa satu jam lebih untuk sampai kerana keadaan jalan yang teruk, kepadatan kenderaan dan geografi berbukit.
Tiket masuk ke sini adalah 75,000 rupiah (RM22.20) termasuk air mineral satu botol. Pada saya, UDB ini kuil yang ‘mesra pelancong’ dan tempatnya dijaga dengan sangat baik.
Pelawat hanya tidak boleh masuk di kuil yang berada di tengah laluan. Kebetulan ketika saya pergi, ada upacara keagamaan di kuil berkenaan.
Saya juga melawat Pura Tirta Empul (PTE) yang terletak 15 km dengan masa perjalanan lebih kurang 30 minit dari Ubud.
Pada saya, PTE ini lebih berat kepada kuil kerana tidak mesra pelancong berbanding UDB. Di sini, tiada taman yang cantik untuk bergambar.
Dengan bayaran masuk 50,000 rupiah (RM14.80), saya rasa agak tidak berbaloi.
Antara pantang larang di sini adalah tidak boleh dalam haid, rambut mestilah diikat dan semestinya guna kain sarung yang disediakan.
Akhir sekali, saya melawat Air Terjun Banyumala (BW) yang terletak satu laluan ke UDB. Tiket masuk 50,000 rupiah (RM14.80) untuk orang asing.
Untuk ke BW ini, ia memerlukan sedikit stamina kerana laluan bertangga.
Secara keseluruhan, saya rasa Bali bukan sahaja terlalu padat dengan pelancong, tetapi juga mahal.














