PETALING JAYA – Jualan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri termasuk pakaian, hiasan rumah dan kuih-muih di bazar Aidilfitri dianggarkan merosot hampir 75 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, berdasarkan maklumat daripada peniaga dan tinjauan pihaknya mendapati, orang ramai ketika ini tiada kuasa membeli sebaliknya berkunjung ke bazar hanya untuk ‘mencuci mata’.
“Situasi tahun ini adalah yang paling buruk pernah dialami peniaga bazar Ramadan. Peniaga baju Melayu, songkok mengadu nasib mereka. Kami akan bawa maklumat diperoleh ini kepada kementerian bertanggungjawab,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Rosli berkata, rata-rata peniaga ditemui memberitahu, jualan mereka hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan kebiasaannya selepas Nuzul al-Quran, jualan akan meningkat sehingga RM15,000 sehari.
“Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak berlaku selepas 28 Mac lalu,” ujarnya.
Tambah Rosli, ada antara peniaga bazar mengambil langkah membuat lelongan baju raya sebanyak RM100 untuk tiga pasang persalinan demi memastikan tidak rugi teruk.
“Mula-mula jual RM120 sepasang, turun kepada RM75. Sebelum Nuzul al-Quran sudah turun kepada RM60. Selepas Nuzul al-Quran, demi nak ‘clearkan’ stok jual tiga pasang RM100.
“Bagaimanapun, mereka cerita, lelong pun orang tak beli sedangkan mereka jual produk yang sama kualiti seperti yang dijual di lokasi lain, cuma orang tiada kuasa membeli,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi sama turut membelenggu peniaga bazar Ramadan apabila perniagaan mereka merosot kira-kira 30 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Jelas beliau, keadaan itu berlaku ekoran kos bahan mentah yang tinggi di samping faktor jumlah pengunjung yang rendah selain hanya membeli satu atau dua juadah sahaja.
“Tidak seperti sebelum ini, tahun ini pengunjung hanya beli satu atau dua jenis makanan untuk berbuka puasa walaupun peniaga tidak menaikkan harga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rosli memberitahu, kewujudan penjaja tidak berlesen dalam kalangan rakyat tempatan dan warga asing memberi kesan kepada peniaga di bazar Ramadan.
“Mereka ini yang digelar peniaga ‘rambo’ tidak perlu membayar apa-apa kepada pihak berkuasa. Mereka hanya jadikan kain pelikat atau kain batik sebagai alas atas lantai untuk letak jualan mereka.
“Sedangkan peniaga di bazar Ramadan perlu membayar deposit sebanyak RM2,000 tidak termasuk sewa kepada pihak berkuasa tempatan.
“Malah, kalau tambah payung di belakang tapak untuk letak barang pun peniaga ini boleh dikenakan tindakan iaitu deposit tidak dipulangkan,” jelasnya.














