fbpx
Nik Nurhanis (dua dari kiri) bersama anak-anak yatim yang akan menyambut Aidilfitri di Rumah Anak Yatim Darul Atiq, Padang Pak Amat di Pasir Puteh.

Ibu, anak hidup miskin beraya di rumah anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Menyambut Aidilfitri di rumah anak yatim sudah menjadi rutin tahunan bagi seorang kanak-kanak dan ibunya yang tinggal di Rumah Anak Yatim Darul Atiq, Padang Pak Amat, di sini sejak empat tahun lalu.

Nik Nurhanis Mohd. Tamir, 10, berkata, dia dan ibunya berusia 28 tahun tiada pilihan selain perlu beraya di rumah kebajikan itu selepas dihimpit kesusahan apabila bapanya meninggal dunia.

“Saya dan ibu tidak mahu menyusahkan saudara-mara yang lain kerana mereka juga mempunyai tanggungan anak-anak yang ramai.

“Hanya rumah ini yang menjadi tempat kami berteduh dan menumpang kasih bersama peng­huni lain semasa menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Rumah Anak Yatim Darul Atiq, di sini.

Tambahnya, meskipun beraya dalam keadaan ala kadar, ramai yang tampil membantu terma­suk menghulurkan derma serta bantuan baju raya pada bulan Ramadan.

Sementara itu, Penyelia Rumah Anak Yatim Darul Atiq, Rosni Alias berkata, anak-anak yatim piatu termasuk pelajar pondok akan dikumpulkan di rumah anak yatim semasa hari raya sehingga tempoh ditetapkan.

Katanya, anak yatim yang masih ada saudara-mara akan pulang beraya di rumah keluarga mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pemba­ngunan Insan Kelantan (PKPIK), Datuk Mohd. Nazry Mohamad berkata, pihaknya sentiasa me­nyantuni dan membela nasib anak-anak yatim terutamanya perihal kebajikan mereka.

Menurutnya, aspek keceriaan dan kegembiraaan anak yatim pada Aidilfitri diberi fokus utama bagi mengelakkan mereka daripada berasa diabaikan.

“PKPIK akan memastikan anak yatim berpakaian baharu dan ceria pada 1 Syawal.

“Kita akan mencari dana atau dermawan yang akan menyumbang pelbagai bantuan kepada golongan anak-anak yatim.

“Anak-anak yatim turut dibawa petugas ke rumah waris dan keluarga sekiranya mereka mahu melawat saudara mara pada hari raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN