Gambar hiasan

‘Butakan’ Aliff Syukri, kisahkan kehebatan Sivasangari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SATU Malaysia bersorak dengan kejayaan pemain skuasy wanita No. 1 negara, S. Sivasangari yang bergelar juara kejohanan London Klasik selepas menewaskan pemain No. 2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy pada aksi akhir.

Kejayaan yang diraih Sivasangari itu cukup indah, lebih-lebih lagi kemampuannya menumbangkan pemain nombor 1 dunia, Nour El Sherbini pada saingan suku akhir.

Apa yang digapai atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu adalah apa yang sepatutnya dicanang rakyat Malaysia, bukan hal remeh-temeh yang tidak memberikan keuntungan.

Sebagai contoh terdekat dan paling terkini patut dielakkan adalah cubaan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri ‘bermain konten’ pada bulan Ramadan yang kononnya ingin merilis atau melancarkan single raya.

Kita tahu dia bukan seorang penyanyi yang layak didendang, namun pada hemat penulis, biarkan sahaja beliau tertawa, menghentakkan kaki di lantai dan terduduk seorang diri.

Kalau orang memberikan reasoning atau alasan bahawa zaman sekarang adalah zaman konten, kita sebagai pemerhati bijak pandai juga mempunyai pilihan sama ada untuk melayani atau buat-buat tak nampak apa yang cuba ‘dijual’.

Lebih baik salurkan energi kepada isu semasa yang lebih memberikan faedah seperti yang digapai Sivasangari.

Itu termasuklah kisah kejayaan anak-anak Malaysia di pentas dunia seperti yang dikecapi Dolla yang membina nama di negara tembok besar China menerusi penyertaan dalam program realiti, Show It All. Itu selayaknya.

Kendatipun, memang tidak dinafikan perihal yang terkandung DNA dungu atau bodoh itu lebih mudah menderas di gelanggang viral. Dari segi longevity atau ketahanan untuk diingati dalam tempoh 20 tahun mendatang misalnya, tepuk dada tanya selera.

Senario tersebut diakui anak seni Remy Ishak yang mengakui suka atau tidak, zaman kini adalah memang ‘zaman konten’.

Bagaimanapun, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, pilihan itu terletak kepada pelaku seni sendiri atau mereka yang bergelar pemerhati (dibaca: netizen) untuk ride along atau turut sama sertai bandwagon.

“Zaman saya ‘naik’ dulu berbeza. Sosial media bukan ‘juadah’ peminat. Sekarang sudah lain semua benda dijadikan konten.

“Solusi saya mudah iaitu bukan semua benda boleh dijadikan konten. Anak seni sejati ada maruah dan bukan untuk dipijak-pijak demi secebis publisiti,” katanya.

Dalam pada itu, anak seni yang mula mengorak langkah sedari zaman kanak-kanak, Fimie Don juga senada dengan Remy. Bagaimanapun, dia enggan terlalu tunduk dengan kehendak ‘moden’.

“Bagi saya pendapat yang patut kisahkan (sebagai pelakon) adalah yang datang daripada pengarah sahaja.

“Bagaimanapun, saya faham kehendak sekarang yang terlalu kejarkan pelaku seni yang banyak followers. Saya mencari ‘majikan’ yang tak kisahkan jumlah pengikut dan saya percaya kepada kesan positif daripada budaya kerja tersebut,” jelasnya.

Barangkali, ini bukan perbandingan apple to apple, namun sebagai penulis yang cakna akan dampak positif sesuatu asbab tindakan terhadap kemajuan sesuatu bidang, sudah tiba waktu kita kisahkan apa yang selayaknya kita kisahkan. Wallahualam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN