WANITA berusia 25 tahun ini baru sahaja mendaftarkan diri dalam kursus Sarjana Muda Sains Harta Tanah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada bulan Oktober lalu.
Meskipun agak lewat dan kelihatan sedikit berusia jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekuliah yang lain, namun itu bukan penghalang buat anak kelahiran Batu Pahat,
Johor ini untuk melanjutkan pengajiannya yang ‘tertunda’ demi mengejar cita-citanya sebagai pakar hartanah suatu masa nanti.
“Sejak diperkenalkan kepada bidang hartanah ini oleh bapa saya, saya tidak menoleh ke belakang lagi.
“Inilah kerjaya yang saya rasa mampu menggilap dan menyerlahkan potensi diri sebenar untuk menjadi seorang yang bukan sahaja berjaya bagi individu, tetapi juga menjadi manfaat kepada komuniti,” ujar Fatimatul Zahrah Mohd. Zainal memulakan bicara bersama iGen.
Menurut anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia semasa kecil bercita-cita menjadi seorang peguam.
Namun, setelah mula menceburi bidang hartanah secara sambilan ketika berusia 19 tahun dan berjaya menerima pendapatan mencecah lima angka sebulan hanya setelah beberapa bulan berkecimpung di dalam industri itu, dia nekad menukar hala tujunya.
“Bukanlah kehidupan mewah yang saya kejar dan dijadikan asas pemilihan kerjaya pada masa akan datang.
“Pada pandangan saya, apa yang lebih penting adalah sama ada sesuatu bidang kerjaya itu memberi ruang kepada saya untuk berdikari, menimba ilmu dan akhirnya berupaya mengenali diri saya yang sebenar,” katanya.
Jelas Zahrah, keinginannya meluap-luap untuk mendalami ilmu dalam bidang hartanah setelah menamatkan pengajian Diploma Sumber Manusia di Pusat Pengajian
Berterusan Universiti Malaya (UMCCEd) setelah menamatkan persekolahannya.
Pun begitu, perjalanan akademiknya ke peringkat ijazah sarjana muda terhenti sebaik pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020.
Kebetulan, kesihatan ibunya yang tidak begitu baik ketika itu telah memaksanya untuk menghentikan sementara perjalanan akademiknya buat seketika, biarpun berjaya menggenggam gelaran pelajar terbaik keseluruhan untuk pengajian diplomanya di UMCCEd.
“Sejak kecil memang saya seorang pencinta ilmu. Buku memang tidak pernah jauh dari capaian tangan saya.
“Seingat saya, ketika membesar di kantin sekolah tempat ibu berniaga, saya sentiasa dikelilingi buku yang banyak membina persepsi diri terhadap pembelajaran dan kehidupan,” katanya yang menjadikan buku hasil tulisan Robert Kiyosaki berjudul Rich Dad Poor Dad sebagai naskhah yang paling banyak mempengaruhi pemikirannya.

Ditebak jika mempunyai suri teladan yang sering dijadikan idola bagi memberinya inspirasi, Zahrah pantas memberi nama pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad sebagai jawapan.
Lebih membanggakan, Zahrah bukan sahaja seorang ‘ulat buku’, malah kecemerlangannya turut meliputi penglibatannya dalam pelbagai program dan aktiviti dari peringkat sekolah hingga ke universiti.
“Bermula dengan pertandingan pantun dan bicara berirama, sehinggalah ke debat dan syarahan, saya sertai semuanya semasa di sekolah.
“Jawatan sebagai Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Diploma semasa di UMCCEd juga tidak menghalang saya mencapai anugerah dekan pada setiap semester,” kongsi Zaharah.
Tambahnya, dek kerana disebabkan dirinya yang lebih berusia berbanding rakan-rakan sekelas di universiti pada masa ini, Zahrah juga sering diminta berkongsi nasihat dalam hidup dan perkara berkaitan pengajian.
“Saya gembira dijadikan rujukan sebegini, walaupun perlu diakui bukanlah saya orang yang paling berilmu dalam hal yang ditanyakan.
“Namun, saya melihatnya sebagai salah satu kaedah untuk mendekati komuniti terdekat dengan saya iaitu rakan sekuliah,” ujarnya.
















