fbpx

‘Anak puan sudah darjah 4 bukan darjah 1’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak sesi persekolahan baharu dibuka kira-kira dua minggu lalu memperlihatkan sisi ragam ibu bapa boleh dilihat dalam kumpulan WhatsApp kelas anak-anak atau kumpulan Ibu Bapa dan Guru-Guru.

Kebiasaan kita akan dengar kelakuan lucu-lucu anak ketika mula bersekolah tetapi kali ini berbeza apabila ibu bapa yang ‘buat hal’ sehingga menjadi tular kelmarin.

Penulis sebenarnya telah memendam rasa dengan sikap segelintir ibu bapa yang berkelakuan pelik dalam kumpulan WhatsApp anak dalam darjah empat.

Pelbagai soalan yang ditanyakan seolah-olah anak mereka baru bersekolah pra atau darjah satu.

Sabar saja hati, nasib baiklah guru kelas seorang yang penyabar menjawab dengan tenang setiap hari.

Apa yang melucukan sehingga menjadi tular kelmarin apabila tersebar tangkap layar seorang guru yang sudah tidak boleh sabar lagi dengan sikap ibu bapa yang sering bertanyakan kepada kumpulan WhatsApp kelas mengenai kerja sekolah anak-anak sendiri.

Ramai bertepuk tangan dengan jawapan cikgu itu yang ‘bagi’ cukup-cukup dengan ibu bapa yang setiap hari bertanya mengenai kerja sekolah anak.

Hari-hari tanya ada homework ke tak, siapa yang datang sekolah sebenarnya? Anak-anak tu ada tak dalam kelas masa cikgu mengajar? Memang jadi
tanggungjawab cikgu ke untuk maklumkan setiap kerja sekolah yang diberi? Bukan tanggungjawab anak-anak untuk fokus dan peka dalam kelas?

Nah memang kena takzirah dengan cikgu, ramai bertepuk tangan.

Realitinya ramai ibu bapa yang manjakan anak, sepatutnya berilah pengajaran kepada anak jika tidak menyiapkan kerja sekolah anak didenda oleh guru.

Barulah anak-anak tahu langit itu tinggi atau rendah jika gagal siapkan kerja sekolah tanpa melibatkan ibu bapa yang bertanyakan dalam kumpulan WhatsApp.

Berbalik kepada isu darjah empat bukan darjah satu pula, soalan kegemaran ibu bapa dalam WhatsApp adalah ‘boleh kongsi jadual kelas tak?’ Soalan itu boleh dikatakan setiap bulan ada yang bertanya.

Dalam isu cuaca panas pula, setiap minggu ada ibu bapa yang bertanya ‘cikgu esok boleh pakai baju sukan tak?

Ya Allah, tolonglah ibu bapa, bacalah WhatsApp tu, jangan jadi pemalas membaca, semua hendak diulang siar untuk anda, semua penerangan ada dalam kumpulan kelas masing-masing.

Cubalah jangan pentingkan diri, tidak membaca ketika dimaklumkan cikgu tetapi esoknya bila diperlukan maklumat itu tidak mahu tengok tetapi terus bertanya dengan harapan ada yang akan ‘suapkan’ untuk kita. Anak puan sudah darjah empat bukan darjah satu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN