Leganya apabila TP dimansuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EMPAT inisiatif intervensi yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu keciciran pembelajaran baru-baru ini dilihat mendapat sambutan baik daripada ibu bapa.

Meskipun pengumuman inisiatif itu agak terlewat berikutan sesi persekolahan sudah bermula, rata-rata ibu bapa melahirkan rasa lega apabila Menteri KPM, Fadhlina Sidek mengumumkan pemansuhan sistem skor markah dalam bentuk tahap penguasaan (TP).

Melalui pengumuman itu, Fadhlina memaklumkan semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar dalam bentuk pe­ratus dan gred.

Katanya, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan TP sebelum ini.

Seorang penjaga yang mahu dikenali sebagai Ruhayati, 38, berkata, dia menerima baik langkah KPM kerana pelaporan TP di bawah Pentaksiran Bilik
Darjah (PBD) yang diamalkan sebelum ini agak mengelirukan dan kurang jelas.

“Apabila ada Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), lebih mudah kepada kami ibu bapa ini untuk melihat markah dan gred anak-anak di sekolah. Dari situ kita tahu di peringkat manakah tahap pengetahuan anak kita ini dalam sesuatu subjek.

“Selain itu, kita tidak tahu dengan jelas apakah ‘method’ yang digunakan guru untuk menilai kebolehan anak-anak di sekolah. Bagi saya peperiksaan ini lebih mudah untuk kita sebab kita dulu pun pernah sekolah dan dah biasa dengan gred dan markah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, empat inisiatif intervensi itu perlu di­sambut baik dengan mengambil kira keluhan, desakan serta kritikan berterusan berbagai pihak khususnya ibu bapa dan guru-guru sejak Kurikulum Semakan 2017 dilaksanakan.

Katanya, empat inisiatif intervensi itu sepatutnya telah lama dilakukan berikutan ber­bagai pihak khususnya ibu bapa, para guru serta pakar akademik telah lama mengutarakan tentang perlunya intervensi Kurikulum Semakan 2017 dilakukan segera.

“Antara isu utama yang dibangkitkan sejak 2017 ialah silibus yang terlalu padat dan tinggi dan pelaksanaan PBD yang bercelaru. Kedua-dua isu ini didapati telah menyukar ibu bapa untuk membantu pem­belajaran anak-anak mereka di rumah dan kekeliruan dalam memahami tahap pencapaian anak-anak mereka.

“Cadangan untuk melakukan penjajaran kurikulum supaya guru mempunyai ruang untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran adalah langkah yang tepat.

“Sesuai dengan inisiatif ini, guru-guru boleh menggunakan pertimbangan profesional mereka dalam melaksanakan kurikulum yang telah dijajarkan sesuai dengan keupayaan dan prestasi murid masing-masing,” katanya.

Jelasnya, penambahbaikan pelaksanaan PBD dan UASA supaya lebih mesra ibu bapa juga adalah intervensi yang baik dan tepat.

“Ini sangat perlu dilakukan kerana konsep PBD yang di­amalkan sebelum ini didapati bercelaru, tidak konsisten dan sukar difahami sehingga terdapat rungutan dalam kalangan ibu bapa yang mahu membantu pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

“Justeru, keputusan KPM untuk mengembalikan sistem pemarkahan dan gred bagi pentaksiran juga selari dengan desakan yang telah disampaikan oleh para ibu bapa di dalam pelbagai sesi libat urus KPM,” ­tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN