PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan suhu di beberapa kawasan di negeri utara Semenanjung termasuk Sabah boleh mencecah tahap gelombang haba ekstrem sekiranya cuaca panas ini berterusan.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, suhu bagi gelombang haba ekstrem adalah melebihi 40 darjah Celsius.

Untuk rekod katanya, gelombang haba ekstrem itu pernah berlaku pada 1998 ketika fenomena El Nino apabila suhu yang dicatatkan di Chuping, Perlis adalah 40.1 darjah Celsius.
“Bagi rekod terkini iaitu sehingga semalam suhu tertinggi dicatatkan adalah di Pokok Sena, Kedah iaitu setinggi 39.1 darjah Celsius.
“Setakat minggu ini juga kalau kita lihat ada stesen yang mencatat suhu 37 dan 38 darjah Celsius. Ketika ini juga suhu adalah pada peringkat tertinggi sehingga awal April,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Hisham berkata, bagi tahun ini, jika dilihat pada corak atau trend suhu sekarang adalah menaik, ada kemungkinan sesetengah kawasan boleh capai suhu lebih 40 darjah Celsius terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung.
“Risikonya agak tinggi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, antara negeri dan kawasan yang berisiko untuk gelombang haba ekstrem ini termasuk di Kedah, Perlis dan sebahagian utara Perak.
Turut terlibat katanya, adalah kawasan di pedalaman Pahang dan juga pedalaman Kelantan.
“Ini antara kawasan hot spot untuk berlaku gelombang haba. Kawasan-kawasan lain itu ia on-off, kadang-kadang panas lebih 35 darjah Celsius, kemudian dua tiga hari dia turun.
“Cuaca di kawasan ini tidak seekstrem di utara Semenanjung yang sentiasa konsisten kering,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada cuaca panas yang dialami kebanyakan kawasan di negara ini akan berlarutan atau sebaliknya, Mohd. Hisham memberitahu, ia akan mula reda pada awal April.
Ini kerana katanya, selepas April hujan akan mula banyak kerana peralihan monsun.
“Apabila hujan dah banyak, kelembapan dah tinggi, payung (awan) pun dah banyak, maka suhu negara kita akan beransur-ansur reda.
“Kita jangka cuaca panas ini berakhir awal Mei. Sebab kalau ikut rekod cuaca panas tahun ini bermula awal iaitu penghujung Januari dan awal Februari dah mula panas. Berbanding tahun lalu bermula awal Mac dan berakhir pada Jun,” tambahnya.














