fbpx
GAMBAR HIASAN

‘Pandai-pandailah kita ikat nafsu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN tiba lagi! Kita tidak boleh lari daripada pertanyaan bersahur apa, berbuka di mana, tepung pelita mana yang sedap dan ke bazar Ramadan mana petang ini?

Mukadimah, sebelum ditanyakan soal tarawih di mana dan moreh. Setiap kali Ramadan penulis gemar ke bazar Ramadan di kampung halaman.

Banyak kuih-muih tradisional, kalau di Pahang terkenal dengan kuih tiga beradik. Kombinasi kuih pena, badak berkubang dan dodol kukus. Kuih-kuih ini diberi jolokan tiga beradik kerana menggunakan tepung pulut dan santan pekat tetapi rasanya tidak sama.

Bulan puasa kali ini kita disuguhkan dengan harga-harga makanan di bazar Ramadan yang meningkat. Dua hari juga penulis sempat membeli juadah di luar. Kelmarin penulis membeli nasi putih, sambal dan ikan aya singgang berharga RM10.

Koyak poket! Demikian getus hati penulis apabila melihat harganya. Tahun lalu dan bulan lalu, menu sama di kedai sama masih lagi RM7 hingga RM8 mengikut saiz ikan. Nampaknya orang ramai terpaksa keluar belanja lebih untuk menu sama pada tahun lalu.

Rata-ratanya naik kira-kira 20 peratus. Mereka, golongan peniaga memberitahu ini situasi yang tidak dapat dielak dengan kos bahan mentah terkini selain sewa tapak bazar.

Laporan Kosmo! di sebuah bazar Ramadan di Sungai Petani mendapati, ikan tenggiri masak gulai dijual pada harga RM6 berbanding RM4 seketul, di gerai yang sama tahun lalu.

Peniaga martabak di bazar tersebut juga memberitahu, martabak ayam dan daging dijual RM4 berbanding RM3.50 pada tahun lalu. Ia disebabkan harga tepung gandum mencecah RM29 bagi 10 kilogram selain inti daging dan ayam kisar naik kepada RM16 daripada RM14 sekilogram.

Ada suara-suara sinis ‘kalau mahu murah masak sendiri di rumah’. Perlu diingat, pasangan suami isteri yang masing-masing bekerja, tinggal pula di lokasi padat penduduk seperti di ibu negara, memasak ini agak renyah.

Bayangkan, habis kerja antara pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang, perlu tergesa-gesa keluar pejabat, bersesak, berebut-rebut atas jalan raya pulang memasak untuk keluarga. Jadi singgah di bazar Ramadan adalah pilihan yang lebih praktikal, menjimatkan masa. Jika berkesempatan untuk memasak pun hanya pada hujung minggu.

Itupun jika tidak ke bazar Ramadan macam tidak sah pula ‘kemeriahan’ berpuasa. Namun, apa yang positif penulis dapati adalah pengguna seolah-olah ‘reda’ dengan kenaikan ini. Pandai-pandailah kami pembeli ini ikat nafsu jika ke bazar dan ‘bernormalisasi’.

Malah, ada peniaga mengambil inisiatif mengekalkan harga lama, namun mengurangkan kuantiti makanan. Pengguna masih boleh berkompromi, namun janganlah mengambil kesempatan dengan harga yang melampau.

Nampaknya, tahun ini pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu bekerja keras turun memantau bazar di seluruh negara. Jika berlaku pencatutan ambillah tindakan tegas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN