TELUK BAHANG – Setiap kali Ramadan, penduduk di Teluk Bahang, di sini, tidak perlu lagi mengunci jam untuk bangun bersahur memandangkan tugas itu diambil alih pasukan gerak sahur anak-anak kariah kawasan itu.
Sejak 2018, pasukan gerak sahur akan mengelilingi kawasan perumahan penduduk dengan menaiki motosikal sambil mengetuk buluh bermula kira-kira pukul 4 pagi hingga 5 pagi.
Selain menggunakan buluh, pasukan gerak sahur ini juga akan melaungkan ungkapan ‘sahur’ di sepanjang laluan mereka.
Ketua pasukan gerak sahur, Mohd. Ali Abdul Jabbar berkata, setiap hari bermula 1 Ramadan, anak-anak kariah Teluk Bahang akan bersama-sama pasukan
tersebut untuk mengejutkan umat Islam di kampung tersebut untuk bersahur.
“Aktiviti ini terbuka kepada semua anak-anak kariah Teluk Bahang, setiap hari terdapat kira-kira 20 remaja akan menyertai pasukan kami. Jika cuti hujung minggu, remaja yang sertai pasukan kami akan bertambah.
“Kami akan mengelilingi tujuh kawasan kampung dan empat buah flat di Teluk Bahang setiap hari dengan menggunakan motosikal serta mengetuk buluh untuk mengejutkan umat Islam bersahur,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, insiatif itu digerakkan bagi menghidupkan semula tradisi gerak sahur yang semakin dilupakan generasi muda.
“Pada zaman dahulu, kita ada tradisi orang ramai mengejutkan umat Islam bersahur, jadi kami mahu anak-anak muda tidak melupakan tradisi ini.
“Orang kampung juga mengalu-alukan aktiviti ini kerana mereka tidak perlu bimbang sekiranya terlupa mengunci jam kerana pasukan kami ada setiap hari untuk mengejutkan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli pasukan gerak sahur, Afif Dini Afzainizam, 20, berkata, dia berharap lebih ramai lagi anak muda dari kariah Teluk
Bahang menyertai mereka untuk memeriahkan waktu bersahur.
“Waktu sahur selalunya orang sukar untuk bangun kerana sedang nyenyak tidur, jadi kami bersama-sama pasukan gerak sahur mahu membantu orang ramai untuk bangun.
“Kami berharap lebih ramai orang muda akan menyertai kami bagi agar penduduk Teluk Bahang mudah untuk bangun bersahur tanpa perlu mengunci jam,” ujarnya.















