fbpx
LAMAN Kelulut di MAEPS, Serdang, Selangor menempatkan antara tujuh hingga lapan spesies kelulut.

Nikmati madu kelulut dari sarang di MAEPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARUMAN lebih 250 spesies herba dan rempah-ratus menusuk hidung saat pengunjung memasuki Laman Herba dan Laman Kelulut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Laman milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu serba hijau dan kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan yang memiliki nilai perubatan tersendiri.

Selain untuk perubatan, sebahagian tumbuhan di laman yang berbentuk seperti maze (laman sesat) itu juga boleh digunakan dalam masakan atau minuman harian.

Sebaik tiba, pengunjung disambut mesra oleh wakil ekopelancongan MAEPS, sebelum membawa pengunjung mengenali fungsi setiap tumbuhan herba dan rempah-ratus.

Antara yang menarik adalah pokok patawali, tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing dan aneka tumbuhan teh.

Pengunjung juga diajar berkenaan perbezaan pokok herba yang bertoksik (tidak boleh dimakan begitu sahaja) dan kurang bertoksik (boleh makan begitu sahaja).

Menurut penyelia ekopelancongan MAEPS, Mohammad Helmi Khuzaini Hashim, tempat itu sering menjadi tumpuan pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro

Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun.

“Laman ini menempatkan pelbagai herba termasuk yang jarang dijumpai.
Herba yang paling diminati pengunjung adalah tongkat ali.

“Hal ini kerana tongkat ali memiliki akar sama panjang dengan batangnya.

“Jadi, setiap kali orang melihat betapa tingginya pokok tongkat ali, mereka akan bayangkan betapa dalamnya akar tumbuhan ini,” katanya.

PARA pengunjung boleh merasai sendiri madu kelulut dari dalam sarang. – Syakir Radin/ MAEPS

Setelah tamat penjelajahan di laman herba, pengunjung dibawa menikmati teh herba yang telah siap dibancuh.

Perkara itu dilakukan sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mardi kepada umum.

Di sebelah laman herba terdapat ladang mini kelulut yang menempatkan tujuh hingga lapan spesies kelulut.

Keunikan kelulut adalah serangga itu tidak menyengat, sekali gus membolehkan pengunjung merasai madu dari dalam sarangnya.

Tambah Mohammad Helmi, lebah kelulut akan mencari makan sekitar 100 meter di sekelilingnya.

“Jadi, madu kelulut di sini berbeza dengan tempat lain kerana ladang mini ini dikelilingi pokok herba dan bukannya pokok buah.

“Madu kelulut di sini memiliki rasa yang sedikit masam dan lebih berkhasiat berbanding rasa manis di tempat lain.

“Pengunjung juga boleh merasai pengalaman menceduk sendiri madu dari sarang ketika kelulut masih berada dalam sarang,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohammad Helmi menyarankan orang ramai supaya menghubungi pihak MAEPS Agro Tourism Park terlebih dahulu sebelum datang berkunjung ke situ.

Hal ini kerana, perkhidmatan itu tidak akan ditawarkan kepada pengunjung yang datang secara persendirian.

Katanya, pengunjung kanak-kanak akan diberi aktiviti tambahan seperti meneka tumbuhan herba dan mewarna.

“Pengunjung boleh masuk secara percuma ke tempat ini pada bila-bila masa. Namun, mereka tidak dapat rasa pengalaman sebenar yang ditawarkan pihak kami.

“Jadi, lebih baik mereka hubungi kami dahulu untuk melihat pakej-pakej yang ditawarkan.

“Ia bagi memastikan pakej yang ditawarkan sesuai dengan kehendak mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN