fbpx
BRRIYAN (kiri) mencipta nama sebagai jurusolek bagi pertandingan Mrs World di Las Vegas, Amerika Syarikat, manakala Ridzman Zidaine (tengah) menjadi model Malaysia pertama berjalan di pentas peragaan jenama LV dan Rizman Ruzaini mencipta sejarah di Dubai apabila rekaannya turut digayakan Naomi Campbell.

Testimoni kemaraan lelaki Malaysia ke pentas fesyen global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di saat bidang peragaan di negara ini lebih sinonim dengan kaum wanita, jejaka Malaysia juga kini tidak kurang hebatnya mengorak langkah dalam bidang fesyen sehingga ke peringkat antarabangsa.

Tatkala kelibat seorang jejaka Melayu tinggi lampai serta berkulit sawo matang, Ridzman Zidaine berjalan di atas pentas peragaan fesyen Pramusim Luruh 2024 di Hong Kong, November lalu, namanya terus dikenali dunia dan mulai menjadi sebutan.

Betapa tidak, anak kelahiran Kuala Lumpur itu telah mencatat sejarah membanggakan di Hong Kong apabila menjadi model asal Malaysia pertama yang berjalan di pentas peragaan jenama fesyen mewah Louis Vuitton (LV).

Dia bahkan bagai ‘diberikan penghormatan’ apabila menjadi individu pertama yang membuka pentas fesyen tersebut.

Tidak setakat itu, baru-baru ini juga, Ridzman sekali lagi tampil di pentas Paris Fashion Week di Perancis bagi memperagakan koleksi Musim Luruh/Sejuk 2024 bagi LV.

Selain LV, jejaka setinggi 188 meter itu juga pernah menjadi model bagi beberapa jenama fesyen mewah lain termasuk Hermes, Emporio Armani, Alyx, Ami, JW Anderson, Lemaire dan Issey Miyake.

Di Instagram, terlihat lelaki ini begitu sibuk dengan kerjaya modelnya. Pelbagai kota fesyen dunia telah dijejakinya. Bukan sahaja Paris, bahkan dia telah berada di pentas peragaan fesyen London, United Kingdom dan terbaharu perkongsiannya di Milan, Itali.

Portfolionya menunjukkan yang dia berkhidmat untuk agensi model Next New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat (AS); Next Madrid, Sepanyol selain Next Paris, Next Milan, Next London dan Bravo Model, Tokyo, Jepun.

Siapa sangka, seorang jejaka dari Malaysia mampu mencipta nama di pentas peragaan antarabangsa pada usia cukup muda. Ridzman menjadi bukti atau testimoni kemaraan kaum Adam negara ini di pentas peragaan dunia.

Kongsi Ridzman, dia mula menceburi bidang peragaan pada usia 19 tahun di bawah agensi peragaan Kuala Lumpur iaitu Topboi Citizen.

“Tidak lama selepas itu, kemunculan sulung saya di pentas peragaan adalah pada Kuala Lumpur Fashion Week 2019 yang berlangsung beberapa bulan sebelum Covid-19 melanda dunia,” katanya dalam satu perbualan ringkas ketika dihubungi K2 di media sosial.

Kongsinya lagi, ketika mendapat tahu terpilih sebagai salah seorang model untuk berjalan di pentas peragaan fesyen LV di Hong Kong, dia berasa cukup teruja.

“Sukar untuk saya jelaskan perasaan saya ketika menerima khabar berita itu.

“Tambahan pula, saya hanya mengetahui saya terpilih beberapa hari sebelum acara itu berlangsung.

“Rasa teruja ditambah pula dengan rasa gementar menjadikan pengalaman itu lebih menarik,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut berjalan di pentas peragaan London Fashion Week Jun lalu.

Biarpun terpilih mewakili jenama fesyen besar, langkah Ridzman di atas pentas peragaan tampak santai dan tidak kaku.

Mengakui tidak menyangka mimpi boleh menjadi kenyataan, dia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mempercayai kebolehannya.

“Saya cukup teruja atas peluang yang diberikan dan amat berterima kasih kepada semua pihak yang percayakan saya,” kongsinya.

Dia turut menambah biarpun laluan ke depannya agak menakutkan, namun dengan pengalaman dan komitmen untuk terus belajar daripada setiap pengalaman, Ridzman mahu melakukannya dengan penuh semangat.

Bagi seorang lagi lelaki Malaysia yang bekerja di belakang tabir dalam industri fesyen dan peragaan, Brriyan John, 30, sama sekali tidak menyangka berjaya mempersembahkan hasil kerjanya di peringkat global.

Brriyan yang merupakan seorang jurusolek sejak tujuh tahun lalu telah meraih keistimewaan bekerja di belakang pentas pertandingan ratu cantik berprestij di Las Vegas, AS apabila menjadi individu yang menata rias wajah Mrs Malaysia World 2023, P. Vanishaantini.

Brriyan menjadi tumpuan media baru-baru ini atas kejayaannya.

Kongsi Brriyan, dia bukan sahaja menyolek wajah Vanishaantini, malah bertanggungjawab menata gaya rambut dan penampilan individu Vanishaantini setiap hari selama lapan hari.

“Biarpun mencabar dan cukup meletihkan, namun saya melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menembusi pentas antarabangsa,” katanya yang sudah pun menerima tawaran menata rias bekas Mrs. World dari India, Sargam Koushal bagi mengukuhkan lagi kehadirannya di pentas antarabangsa.

BRRIYAN bersama Mrs Malaysia World 2023, P. Vanishaantini yang bertanding di Las Vegas, AS.

Brriyan berkata, kerjaya sebagai jurusolek di Malaysia ini sebenarnya membuka peluang cukup baik untuk menembusi pentas global kerana jurusolek Malaysia miliki kelebihan besar dari segi kepelbagaian tona kulit.

“Ramai tak menyedari kepelbagaian bangsa di negara ini juga bermaksud kepelbagaian warna kulit dan itu sebenarnya peluang terbaik buat golongan jurusolek bereksperimen dengan pelbagai jenis teknik solekan.

“Kelebihan itu seterusnya boleh diaplikasikan di pentas dunia memandangkan kita semua mempunyai warna kulit dan undertone yang berbeza-beza,” katanya kepada K2.

Berkongsi pendapatnya tentang penglibatan lelaki di negara ini dalam dunia fesyen meliputi model, jurusolek dan pereka fesyen, Brriyan berkata, ia sebenarnya sudah lama wujud.

“Lelaki sebenarnya sudah lama terlibat dalam fesyen di negara ini kerana jika dilihat, pereka fesyen ternama kebanyakannya kalangan lelaki, begitu juga dengan jurusolek.

“Sekadar berkongsi satu fakta menarik, pada zaman kerajaan Mesir kuno, pemakaian penggaris mata adalah dalam kalangan lelaki dan ini menunjukkan bahawa kosmetik juga sudah sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada lelaki di dunia.

“Bagi saya, apa yang penting, tidak kira apa jua jantina, adalah kita berbangga dengan kerjaya kita dan sama-sama menghasilkan hasil kerja yang baik,” katanya.

Nama duo pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini pula tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dua jejaka tersebut sudah begitu lama menempa nama sebagai antara pereka berbakat besar di negara ini.

Rizman Nordin dan Wan Mohd. Ruzaini yang merupakan pengasas label Rizman Ruzaini merupakan antara pereka fesyen yang berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa khususnya di pasaran Asia Barat.

Selain berpeluang mempamerkan rekaan penuh mewah di pentas peragaan Dubai Fashion Week Oktober lalu, nama Rizman Ruzaini juga gah di pentas global apabila berjaya menampilkan supermodel terkenal, Naomi Campbell yang menggayakan persalinan ciptaan mereka.

Kongsi Rizman, sudah begitu lama dia mengimpikan untuk melebarkan sayap ke pentas dunia dan sama sekali tidak menyangka apabila berpeluang mempamerkan koleksi di salah satu pentas peragaan paling berprestij dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

“Ia adalah bulan jatuh ke riba buat kami kerana sejujurnya kami sudah lama mengimpikan untuk menembusi pasaran Asia Barat dan membawa nama Malaysia ke persada fesyen dunia.

“Peluang itu merupakan penghormatan besar buat kami dalam meluaskan pengaruh kami di luar,” kongsinya.

Penampilan dan kesudian Campbell yang menjadi ‘wajah ilham’ (muse) rekaan Rizman Ruzaini juga mencuri perhatian dunia, menjadikan pereka duo itu cukup terharu.

“Syukur kerana akhirnya kami berpeluang bekerjasama dengan peragawati hebat dunia.

“Ia adalah detik yang amat bermakna dalam kerjaya kami sebagai pereka fesyen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN