MELAKA – Adik-beradik yang hidup mereka terabai kerana ibu bapa ‘kaki syabu’ di Kampung Pernu dekat sini akan dibantu mendapatkan semula pendidikan di sekolah yang terhenti sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, pihaknya bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sedang dalam proses untuk mendaftarkan dua daripada lima beradik berkenaan memulakan sesi persekolahan pada 10 Mac ini.
“Dua daripada mereka berusia 10 dan 9 tahun akan didaftarkan semula persekolahan yang terhenti sebelum ini disebabkan keadaan ibu serta bapa yang tidak mampu menguruskannya.
“Kita juga ada menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin bersama-sama memastikan lima beradik ini termasuk berusia 5,4 dan paling kecil tiga bulan akan mendapat pendidikan sempurna,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Kalsom, pihaknya juga akan memastikan keperluan lain kelima-lima beradik itu dapat dipenuhi untuk membentuk persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan serta perkembangan mereka.
Kosmo! semalam melaporkan lima beradik yang masih kecil hidup dalam keadaan menyedihkan apabila terpaksa menagih simpati jiran untuk mengisi perut selepas diabaikan ibu bapa yang sering ‘lalok’ kerana menghisap syabu di rumah dalam kejadian di Kampung Pernu di sini.
Kisah penderitaan hidup kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga 10 tahun tersebut terbongkar selepas JKM menerima laporan daripada Klinik Kesihatan Telok Mas pada 9 Januari lalu.
Laporan dibuat selepas kakitangan klinik mendapati ibu bapa lima beradik tersebut tidak membawa bayi mereka yang ketika itu berumur dua bulan untuk pemeriksaan dan vaksinasi.
Hasil pemeriksaan JKM di kediaman mereka kemudian mendapati kesemua lima beradik terbabit hidup dalam keadaan tidak terurus dan diabaikan oleh pasangan berusia berusia 31 serta 40 tahun itu.
Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua penjaga itu turut didapati positif dadah jenis syabu dan tangkapan dibuat oleh Agensi Antidadah Kebangsaan.














