fbpx
PENGHIDAP penyakit bipolar akan menyebabkan seseorang mengalami masalah perubahan emosi yang terlampau. - GAMBAR HIASAN

‘Seperti diburu perisik Mossad, CIA’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya rasa seperti diburu perisik Mossad dan Agensi Perisikan Pusat (CIA).”

Itu sengsara yang dialami seorang pesakit bipolar ketika melalui fasa manik penyakit kecelaruan mental tersebut.

Muhammad Arie ahmi Abd. Razak, 31, mula menghidap penyakit itu ketika menyambung pengajian di sebuah universiti di Mesir dalam jurusan perubatan, kira-kira lima tahun lalu.

Kecelaruan mental yang dialami telah memberi kesan kepada kesihatannya sehingga terpaksa berhenti menjalani housemanship doktor pelatih di sebuah hospital.

“Ketika episod manik, saya juga pernah berasakan diri berperanan seperti Imam Mahdi, tetapi saya tak maklumkan fikiran ini kepada umum. Cumanya saya rasa bertanggungjawab satukan umat Islam dalam perjuangan.

“Sebab itu saya rasa seperti se­ring diperhatikan perisik Mossad dan CIA. Ia delusional yang tidak dapat dibezakan dengan realiti.

“Bayangkan, saya juga pernah ketuk pintu rumah orang Malaysia ketika di Mesir pada pukul 3 pagi semata-mata saya nak beri­tahu dajal telah turun.

“Dalam keadaan mamai, jiran itu buka pintu dan hanya mengiyakan apa saya kata,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sewaktu pengajian di Mesir, dia juga pernah dimasukkan ke wad pesakit psikiatri selama dua minggu disebabkan gangguan bipolar.

Muhammad Arieffahmi mula menghidap bipolar ketika menyambung pengajian di Mesir. – GAMBAR HIASAN/AFP

Dalam episod manik itu juga, Muhammad Arieffahmi pernah mencetuskan ‘pergaduhan’ di Facebook apabila memuat naik kenyataan berkaitan depresi.

“Saya mengatakan depresi ini ada kaitan dengan iman dan ketika itu saya berada di fasa ma­nik.

“Dalam seminggu, ia tular dan ada netizen setuju dan tidak bersetuju, bergaduh di media sosial, bahkan saya pernah memuat naik hantaran merapu,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan punca dia menghidap bipolar, Muhammad Arieffahmi memberitahu, secara asasnya ia turut berkait dengan isu genetik.

“Kalau tiada genetik itu, trigger macam mana pun, ia tak berlaku. Namun tidak bagi saya yang ada genetik tersebut, malah ada trigger yang berlaku. Misalnya saya sibuk belajar dan bekerja.

“Saya juga terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak selepas mereka pulang ke Malaysia, saya pula masih di Mesir. Ia satu perubahan besar dan akhirnya ‘meletus’ penyakit ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai profesion doktor perubatan yang tidak dapat direalisasikan, Muhammad Arieffahmi berkata, keluarganya memahami keadaan kesihatan dirinya kerana ia lebih penting.

“Secara peribadi, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan untuk backup plan kalau saya tak jadi apa-apa di kemudian hari. Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu, saya ada buat bisnes.

“Saya sebenarnya secara mental tidak bersedia untuk housemanship dan selepas berhenti, saya teroka bidang bisnes dan kini menawarkan khidmat latihan termasuk pemasaran kepada klinik swasta. Penyakit saya juga kini makin sembuh,” ujarnya.

Golongan selebriti turut tidak terlepas daripada masalah gangguan mental ini.

Pelakon popular, Janna Nick pernah mengakui dirinya menghidap bipolar dan sedang menjalani rawatan dengan mengambil ubat atas nasihat doktor.

Selain itu, penyanyi serta komposer Yasin Sulaiman pernah membuat pendedahan me­ngalami masalah bipolar sejak 10 tahun lalu.

Yasin kini berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selepas diarahkan mahkamah pada November tahun lalu setelah dilepas dan dibebaskan atas tiga pertuduhan dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN