fbpx
Gambar hiasan

Baik buruk kejatuhan nilai ringgit kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJATUHAN nilai ringgit telah menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Malah, beberapa hari lalu ringgit menunjukkan penurunan nilai yang agak ketara.

Penurunan nilai ringgit telah menimbulkan kebimbangan kepada rakyat kerana harga barangan keperluan yang diimport dijangka meningkat.

Bagi mengulas perihal penurunan ringgit ini, wartawan KOSMO! AHAD, FARID AHMAD TARMIJI berkesematan menemu bual Penganalisis Ekonomi yang juga Prof. Adjung

Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid baru-baru ini.

KOSMO!AHAD: Baru-baru ini, Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour ada mengatakan bahawa ringgit terkurang nilai ketika ini, bolehkah Prof. jelaskan mengapa perkara ini berlaku?
ZAKARIAH: Terkurang nilai bermaksud nilai ringgit tidak mencerminkan kadar tukaran yang sebenar dan sepatutnya ia lebih kukuh.

Dalam pasaran, kadar tukaran mata wang ditentukan oleh kuasa pasaran melalui permintaan dan penawaran.

Bagaimanapun, dalam pasaran yang tidak sempurna akan berlaku signal-signal tidak tepat.

Ia mungkin signal dari segi permintaan atau penawaran kerana pasaran tidak sempurna. Jadi, keadaan terlebih nilai atau terkurang nilai boleh berlaku.

Malah, kadar tukaran asing bersifat global dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah yang terbesar di dunia.

Sementara ekonomi China adalah kedua terbesar di dunia.

Jadi, kedua-dua negara adalah ‘player’ yang sangat penting.

Bagi Malaysia, ia amat penting kerana AS dan China merupakan rakan dagang utama negara kita.

Jadi, sekiranya apa-apa berlaku kepada AS dan China, ia akan memberi kesan langsung kepada Malaysia.

Saya juga ingin tegaskan, kadar tukaran mata wang dan dolar AS (AS$) ini adalah unik kerana merupakan ‘world reserve currency’ ataupun mata wang dunia.

Semua negara akan berkehendak dolar tidak kira sama ada ia sahabat atau lawan kepada AS.

Walaupun China tidak berapa setuju dengan AS, negara mereka perlu memegang sejumlah besar dolar.

Ini kerana, dolar juga dikenali sebagai ‘safe haven’ iaitu kalau kita pegang, kita selamat.

Apakah manfaat yang boleh diperoleh negara apabila nilai ringgit jatuh berbanding mata wang lain?
Apabila kadar tukaran ringgit merosot, ia akan menjadikan barangan eksport kita lebih bersaing atau lebih murah. Ini akan menyebabkan eksport kita meningkat.

Sebagai contoh, kadar tukaran ringgit merosot bermakna barangan dan kuantiti sama menjadi lebih murah.

Dalam hal ini, mereka akan menjual dolar untuk mendapatkan ringgit dan mendapat lebih banyak berbanding dulu.

Selain itu, sektor pelancongan akan menjadi lebih berkembang jika nilai ringgit jatuh. Jadi, harga untuk segala kemudahan pelancongan menjadi lebih murah dalam sebutan dolar.

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa kejatuhan nilai ringgit telah meningkatkan pelaburan. Adakah situasi ini benar?
Pelaburan yang dinyatakan itu adalah pelaburan langsung asing (FDI) dan ia adalah komitmen lama.

Kejadian kejatuhan ringgit ini baru saja terjadi, jadi untuk kaitkan begitu saya rasa tidak berapa tepat.

Mungkin ketika melawat negara-negara luar, PM berjaya menarik pelaburan masuk dan ketika itu ringgit belum lagi jatuh.

Sebenarnya, ramai yang tersilap tentang hal FDI ini.

Pelaburan atau aliran modal ini ada dua jenis iaitu aliran modal jangka pendek dan jangka panjang.

Untuk aliran modal jangka pendek, ia adalah dalam bentuk saham. Ia masuk hari ini, dua tiga hari kemudian akan keluar balik.

Sementara aliran modal jangka panjang adalah FDI iaitu membawa masuk modal untuk dibangunkan kilang, ladang dan lain-lain.

Sebenarnya, pelaburan yang diluluskan atau dijanjikan pelabur belum tentu akan direalisasikan.

Kejatuhan ringgit juga akan menyebabkan harga barang import naik. Adakah ia akan menyebabkan berlaku inflasi di dalam negara?
Dalam hal ini, kita bergantung kepada makanan diimport.

Malah, beras tidak semua kita keluarkan sendiri dan ada yang diimport dari luar.

Begitu juga untuk bahan makanan lain seperti sayur dan lain-lain lagi.

Maka, kemerosotan ringgit ini akan memberi kesan kepada kita.

Makanan ini adalah komponen terbesar dalam indeks harga pengguna.

Isi rumah kita juga membelanjakan lebih satu perempat daripada pendapatan untuk membeli makanan dan minuman.

Kejatuhan ringgit menyebabkan harga makanan naik dan ia memberi kesan langsung kepada isi rumah terutamanya golongan B40.

Ada sesetengah produk, jika harga naik kita mesti beli juga.

Jadi, biarpun nilai ringgit jatuh, namun import tidak akan berkurang.

Dalam istilah ekonomi, ia dipanggil sebagai permintaan tidak anjal.

Sebagai contoh, apabila harga ubat-ubatan diimport naik, pesakit tetap akan membeli ubat tersebut.

Pada pendapat Prof., adakah negara kita sudah bersedia untuk menghakis kebergantungan kepada barang import terutamanya makanan bagi mengurangkan pengaruh kejatuhan ringgit terhadap harga barang keperluan?

Import makanan ini secara asas adalah kurang anjal kerana ia barang keperluan.

Walaupun ringgit jatuh, namun kita terpaksa mengimport makanan.

Kita sering mendengar perkataan keterjaminan makanan, ia dikaitkan dengan keperluan asas seperti beras, minyak dan lain-lain lagi.

Barang-barang ini banyak juga kita keluarkan sendiri dalam negara, namun masih ada diimport.

Sebenarnya, ada input-input perantaraan untuk mengeluarkan barang makanan naik disebabkan kejatuhan ringgit.

Mahu tidak mahu, harga barang-barang akhir akan naik juga.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ringgit juga dilihat rendah berbanding beberapa mata wang di Asia Tenggara. Mengapa perkara ini boleh berlaku?

Selalunya, ringgit akan dibandingkan dengan dolar AS, malah semua kadar tukaran di dunia dipadankan dengan dolar.

Seperti yang saya katakan tadi, dolar ini adalah ‘world reserve currency’.

Malah, Singapura, Thailand, Taiwan, Korea Selatan semua akan padankan dengan dolar.

Bagaimanapun, kita juga berdagang dengan Singapura, Thailand, Korea Selatan dan ia dikenali sebagai ‘bilateral exchange rate’ atau kadar tukaran dua hala.

Sebagai contoh, ringgit merosot berbanding dolar AS, begitu juga dolar Singapura dengan dolar AS mengalami perkara sama.

Bagaimanapun, apabila kita lihat tukaran ringgit dengan dolar Singapura, ia turut merosot.

Jika dilihat kemerosotan dolar Singapura dengan dolar AS tidaklah sebesar kemerosotan ringgit dengan dolar AS. Dalam jangka panjang, keadaan ini sangat membimbangkan.

Dianggarkan lebih 2.7 juta pekerja asing bekerja di Malaysia dan setiap bulan mereka hantar wang ke kampung. Adakah ia turut memberi kesan kepada ringgit?
Jumlah 2.7 juta pekerja asing di Malaysia itu adalah angka berdaftar.

Bagaimanapun, jumlah itu sebenarnya lebih daripada itu kerana ada yang tidak berdaftar.

Kesannya, berlaku ‘remitten’ apabila mereka menghantar duit pulang ke negara asal.

Kita tidak boleh menyekat kerana mereka bekerja dan gaji yang dapat adalah sah daripada titik peluh.

Kita hanya boleh halang dengan menghadkan jumlah penghantaran pulang. Sebenarnya, setiap pekerja asing tidak menghantar terlalu banyak wang pulang kerana gaji mereka tidak terlalu besar.

Namun, disebabkan bilangan mereka ramai, maka jumlah yang dihantar banyak. Apabila menghantar duit pulang ke negara masing-masing, mereka terpaksa menjual ringgit.

Ini akan menyebabkan tambahan penawaran terhadap ringgit

Kesannya, imbangan pembayaran jadi tidak ‘cantik’. Jika kita lihat tentang aliran pendapatan keluar dari Malaysia, selalunya defisit.

Defisit ini agak lama dan ia merupakan salah satu masalah struktur ekonomi kita.

Ada pihak menjangkakan ringgit mencecah paras RM4.20 hingga RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. Adakah ia benar-benar akan berlaku?
Ia mungkin boleh berlaku, namun ini semua hanya ramalan-ramalan yang dibuat. Jika tanya boleh berlaku atau tidak, ia bergantung kepada keadaan ekonomi negara.

Dijangka ekonomi kita akan bertambah baik pada tahun ini.

Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), perdagangan global akan meningkat dan Keluaran Negara Kasar (GDP) dunia akan meningkat.

Ini akan menyebabkan eksport kita meningkat. Peningkatan ini akan menyebabkan GDP kita bertambah tinggi, sekali gus gaji pekerja meningkat. Maka, penggunaan isi rumah akan bertambah dan perkara-perkara ini boleh mengukuhkan kadar tukaran ringgit.

Dalam ramalan ini, kita juga perlu kemukakan ‘downside risk’ iaitu sesuatu tidak terduga berlaku, misalnya malapetaka alam.

Kita juga tidak boleh menafikan malapetaka yang disebabkan oleh tangan manusia itu sendiri iaitu geopolitik. Misalnya, perang antara Hamas-Israel dan Ukraine-Russia

Jika berlaku keadaan ‘downside risk’ ini, keadaan akan lebih teruk memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berdagang dan banyak bergantung pada ekonomi dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN