fbpx
Hamidi menunjukkan keris lama yang ditemukannya di Sungai Pahang di Jerantut semalam.

Keris pembesar Pahang ‘pulang’ cari waris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Cuaca panas ketika ini bukan sahaja memberi rezeki kepada nelayan sungai yang mendapat hasil tangkapan lebih baik, malah membawa tuah kepada seorang lelaki yang menjumpai sebilah keris dipercayai berusia ratusan tahun.

Malah, artifak itu yang telah terbenam di dasar sungai sejak beratus tahun itu timbul menandakan keris itu mahu ‘pulang’ kepada warisnya yang berhak.

Hamidi Yaakob, 43, berkata, keris sepanjang 48.26 sentimeter tanpa ulu itu tersangkut di dalam jaring miliknya bersama ikan patin, kerai, kenerak dan tenggalan ketika menjaring di Sungai Pahang semalam.

“Saya terkejut apabila terdapat sebilah keris tanpa lok yang sudah berkarat tersangkut di dalam jaring.

“Keris yang saya percaya milik pembesar Melayu itu kini disimpan di rumah saya untuk dipulihkan semula,” katanya di rumahnya di Kampung Kelola, Pulau Tawar, di sini semalam.

KERIS sepanjang 48.26 sentimeter tanpa ulu itu dipercayai milik pembesar Melayu berusia ratusan tahun.

Hamidi yang juga Pengerusi Pertubuhan Seni Gendang Pahang dan Pengerusi Seni Budaya Pahang menganggap penemuan keris tersebut sebagai rezekinya untuk memiliki senjata utama orang Melayu zaman dahulu.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan orang tua yang pakar, mereka mendakwa keris itu milik seorang pembesar istana yang mempunyai pe­ngaruh besar dan berkarisma.

Jelasnya, keris itu juga dipercayai berpe­ranan sebagai pe­ngantara kuasa untuk menyampaikan pesanan atau perintah kepada pihak lain di zaman itu.

“Keris ini sudah berkarat ke­rana berendam di dalam air ber­abad-abad lamanya.

“Saya ingin mempelawa pihak berkuasa membuat penilaian sejarah berkaitan keris itu di sam­ping membuat ujian karbon bagi menentukan usia keris tersebut,” katanya.

Tokoh Budaya dan Kesenian Pahang, Datuk Dr. Aripin Said pula berkata, berdasarkan pengamatannya, keris itu kemungkinan besar milik pembesar istana Pahang.

Jelasnya, senjata tersebut mirip keris dipegang Panglima Gajah Tunggal Tok Jebek Ketika bergambar dengan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah iaitu Sultan Pahang pertama dalam Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu pertama di Kuala Kangsar, Perak pada 13 hingga 17 Julai 1897.

“Artifak ini perlu dipulihara dengan baik kerana ada kaitan dengan sejarah Pahang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN