Sesi persekolahan bagi tahun 2024 akan bermula dalam masa sebelas hari lagi. Sehari selepas itu, umat Islam akan menyambut Ramadan pula.
Agak unik aturan jadual kali ini kerana tarikh buka sekolah dan 1 Ramadan hanya berselang satu hari. Bagi sebahagian besar keluarga khususnya dalam kalangan B40 dan golongan M40, keadaan itu sudah pasti sedikit sebanyak menimbulkan resah.
Bagi mereka yang mempunyai anak baik di tadika, sekolah rendah atau menengah, termasuk sekolah agama mungkin akan mula berkerut dahi untuk menyediakan wang bagi menghadapi sesi persekolahan baharu ini.
Jika di Lembah Klang, untuk pendaftaran anak di sekolah tadika sahaja khususnya tadika swasta, ibu bapa perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,500.
Kalau ada abang atau kakak di sekolah rendah atau menengah pula, kos untuk seorang anak tidak lari sekitar RM400.
Kos tersebut meliputi pakaian sekolah, kasut, alat tulis, buku latihan, buku tulis dan beberapa perkara lain.menen
Nasib baik buku teks kerajaan beri pinjam secara percuma. Jadi cuba bayangkan, jika ada seorang anak di tadika dan dua orang di sekolah rendah, sekurang-kurangnya kena ada duit dalam tangan minimum sebanyak RM2,300.
Kalau ada anak lebih daripada tiga orang boleh kira sendirilah jumlah wang yang kena ada. Kos tersebut tidak termasuk bayaran bas sekolah, yuran PIBG dan lain-lain.
Pada masa sama, bajet untuk menyambut Ramadan juga perlu disediakan dan diikuti pula dengan persiapan Aidilfitri. Sekali lagi keluarga ini perlu menyediakan bajet untuk pakaian raya anak-anak pula.
Walaupun kosnya boleh kita katakan ‘ukur baju di badan sendiri’, namun yang pasti mereka tetap perlu mengeluarkan sejumlah perbelanjaan untuk itu, tidak kira kecil atau besar mengikut kemampuan masing-masing.
Jadi cuba bayangkan, jika pendapatan sesebuah keluarga itu hanya RM6,000 sebulan atau kurang daripada itu, mereka akan berasa tertekan.
Ini kerana komitmen sedia ada seperti ansuran atau sewa rumah, bayaran kereta atau motosikal sudah tidak dapat dielak. Makan minum tidak kira lagi.
Bagi mereka yang hidup hanya cukup-cukup makan pasti merasa perit. Tidak hairanlah, jika ada yang terpaksa meminjam termasuk daripada majikan, keluarga terdekat atau sahabat handai.
Lebih teruk, mungkin ada yang terpaksa bergolok-gadai demi keluarga mereka. Kepada keluarga B40 dan M40 yang cukup-cukup makan, saranan saya, berbelanjalah secara berhemah. Dahulukan yang penting.
Pendidikan anak harus diutamakan, pastikan segala persiapan menuntut ilmu anak selesai dahulu. Baju raya pula, ada duit kemudian boleh beli.
Jangan pula sampai ada yang berbelanja tidak mengikut keutamaan, berbelanja kepada yang kurang penting boleh, tetapi apabila sampai kepada perbelanjaan sekolah anak mula berkira.
Jangan berbelanja ikut selera orang, tapi ikutlah kemampuan diri kerana yang menanggung adalah kita.














