PASIR SALAK – Golongan nelayan darat melahirkan kebimbangan mengenai masa depan ‘kerjaya’ itu apabila tidak ramai orang muda yang berminat untuk terlibat dalam industri berkenaan.
Situasi itu didakwa boleh menyebabkan tiada lagi generasi nelayan darat yang akan bekerja untuk menangkap ikan pada masa akan datang.
Antara alasan yang diberikan ialah golongan muda lebih berminat menceburi bidang lain yang menjanjikan lebih pendapatan.
Seorang pemuda dikenali Hisham, 23, berkata, dia yang merupakan seorang graduan komunikasi lebih berminat bekerja di sektor lain dan hanya menjadikan kerjaya nelayan sebagai hobi.
“Saya hargai pekerjaan itu kerana bapa saya sendiri merupakan seorang nelayan darat. Namun, untuk terus melakukannya selepas menamatkan pengajian adalah mustahil,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Hisham mengakui hasil sungai yang diperoleh oleh bapanya merupakan punca pendapatan utama keluarganya sejak dahulu lagi.
“Bagi saya, biarlah generasi yang berpelajaran mengubah nasib keluarga melalui pendidikan dengan bekerja di bidang lain. Saya mahu membantu keluarga dengan cara sendiri dan tidak semestinya menjadi seorang nelayan,” ujarnya.
Alasan sama disuarakan pemuda dikenali Sam, 21, yang lebih berminat bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan atas beberapa faktor.
“Jika ada keperluan, memang saya akan bantu keluarga dengan menangkap ikan di sungai. Namun, buat masa ini saya lebih selesa bekerja sendiri sama ada menjadi rider atau bekerja di bidang lain,” katanya.














