SEBUAH laman web penstriman baru-baru ini menjemput individu yang popular dengan gelaran Hot Daddy menerusi platform audio siar atau podcast, sekali gus mengundang kecaman orang ramai.
Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai mempromosi dan menormalisasikan kegiatan persundalan, selain boleh mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan remaja ke arah kegiatan tidak bermoral.
Individu tersebut yang juga bapa tiga anak didakwa pada 26 Januari lalu atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dalam aplikasi X.
Jadi tidak nampak faedah memilihnya sebagai tetamu jemputan.
Bahkan menjemput individu sedemikian atas alasan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda, tidak boleh diterima akal.
Jika sekadar mahu memberi kesedaran, ramai lagi aktivis atau pertubuhan bukan kerajaan yang boleh dijemput.
Bahkan, mereka boleh berkongsi pelbagai pendedahan untuk kesedaran memandangkan individu-individu tersebut banyak terlibat kes-kes sedemikian.
Selain itu, tidak ada faedahnya berkongsi cerita mengenai aib peribadi kepada tatapan umum. Kesalahan dan dosa diri yang dilakukan bukan suatu yang boleh dibanggakan dan dipromosikan.
Jadi memang wajar apabila ramai agamawan termasuk mufti-mufti memberi teguran tersebut dan salah satunya ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan
dan diharamkan oleh syarak.
“Apatah lagi menjadikan penzina sebagai tetamu undangan untuk menceritakan perbuatan maksiatnya tanpa rasa malu dan berdosa.
“Walaupun kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan dari sudut material, namun ia meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, hal ini kerana, golongan pengguna media sosial terdiri daripada latar belakang yang berbeza, malah sebahagiannya tidak berupaya memahami mesej secara tersirat dan tidak mampu untuk menapis setiap maklumat.
Dalam masa sama, tambah menjengkelkan apabila tular rakaman video di media sosial apabila orang ramai seolah-olah melayan Hot Daddy seperti selebriti.
Justeru, bukan hanya individu tersebut, bahkan sesiapa sahaja yang dilihat mempromosi dosa dan maksiat tidak sepatutnya dipromosikan.
‘Unfollow’ media sosial mereka yang tidak memberi faedah kepada kita. Ibu bapa pula perlu memantau anak-anak,” katanya.
Pensyarah Fakulti Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi pula menegaskan, umat Islam hari ini seperti telah
dilanda ‘penyakit’.
“Rasulullah mencela pendosa, kita pula mengangkat mereka ke persada. Mereka merasa bangga dengan dosa, penzina pula diraikan sebagai tamu bual bicara, sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosa,” jelasnya.
Beliau memetik sabda Rasulullah yang bermaksud, ‘Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman’ (HR Ahmad).














