DUA tiga hari lalu, seorang cikgu yang tidak berapa lama dahulu pernah popular dengan kenyataan ‘degup bukan denyut’, Cikgu Zack Kirana kembali memanas.
Dia memberi tempoh selama tiga hari menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada dua individu dipercayai guru yang disifatkannya sangat biadab.
Kata Cikgu Zack, tuduhan tersebut satu kenyataan melampau. Lebih teruk dia disamakan dengan Ayah Pin kerana kononnya membawa ajaran sesat, khususnya tentang teknik berdepan pentaksir Ujian Bertutur Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Disebabkan laporan polis juga sudah dibuat, sekiranya tiada permohonan maaf dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu (17 Februari), Zack memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, video dan status dua individu terbabit berbaur fitnah dan mengundang kebencian serta keraguan orang ramai terhadap kredibilitinya, sama ada sebagai guru tuisyen dan pempengaruh media sosial.
Permintaan Zack tidaklah keterlaluan. Ibarat hutang darah dibalas darah, dia hanya mahukan satu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial, ‘tag’ namanya dan selesai.
Apa yang berlaku di sini nampaknya, seperti terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Untuk seorang pendidik, penulis boleh sifatkan Zack Kirana atau Saliza Ibrahim sebagai model guru alaf baharu bergaya yang boleh mencetuskan minat anak muda remaja zaman TikTok kembali meminati bahasa Melayu bukan hanya untuk memenuhi keperluan peperiksaan tetapi sebagai satu daripada amalan seharian, dalam media media sosialnya.
Sebenarnya betul juga apa yang dikatakan Zack. Agak ironi, seorang guru yang selalu mengajar anak-anak murid supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul, sistem ejaan, huruf besar kecil, tanda baca dan sebagainya tetapi tidak mempraktikkan hal sama dalam penulisan sendiri, seperti yang tertera dalam paparan kecaman terhadapnya menerusi media sosial. Semuanya ke laut!
Betul juga, ramai antara kita yang celik IT (teknologi) tetapi tak celik hati. Ironi itulah yang berlaku. Para pendidik pastinya mengajar murid menjauhi amalan buli siber tetapi perkara itu yang dilakukan apabila secara terang-terangan memetik nama dan mengkritik sesama pendidik dalam media sosial. Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus pula.
Mendengar antara kecaman terhadap Zac yang berbunyi ‘cuba untuk bermain dengan bahasa tetapi akhirnya terjerat bahasa sendiri’, penulis teringatkan banyak perkara.
Seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, ramai antara bijak pandai yang suka mengkritik kerja orang, memperkatakan keburukan orang lain tetapi tanpa sedar, perbuatan sebegitu sebenarnya menampakkan kebodohan sendiri. Ingatlah, harimau digeruni kerana giginya, manusia disanjungi kerana pekertinya.
















