fbpx
HAQIEM RUSLI

Rezeki anak, saya serahkan pada Allah – Haqiem Rusli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR April tahun lalu, penyanyi berbakat besar, Haqiem Rusli hadir dengan satu pendedahan, kononnya sedang menempuh fasa badai, suhu rumah tangganya teruji susulan tindakan si isteri Anis Sofea mengambil keputusan tidak lagi berhijab.

Selain tampil dengan imej baharu, Anis mencipta sensasi mengalahkan artis.

Namanya menjadi bualan khalayak, lebih-lebih lagi selepas dilihat memadam gambar bersama Haqiem dalam Instagram. Onar apa lagi yang sedang dibikin? Natijahnya, si suami yang menadah bahana.

Haqiem enggan memperincikan perihal tersebut meskipun pelbagai andaian dan tohmahan ditujukan kepada mereka berdua.

HAQIEM menyifatkan apa yang terjadi dalam hidupnya sebagai ujian untuk membentuk diri menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang. – FARIS RUSADIO

Kata pemilik nama lengkap Ridzuan Haqiem Rusli itu, dia beranggapan apa yang terjadi adalah bersifat terlalu peribadi.

Pada masa sama, penyanyi berusia 26 tahun itu turut menegaskan bahawa, hubungannya dengan isteri masih baik dan tiada sebarang kemelut tercetus antara mereka.

Isteri okey

Hampir setahun berlalu, Haqiem nampaknya masih berpendirian serupa.

Ditemui Pose dalam dalam fotografi eksklusif di Studio Media Mulia baru-baru ini, Haqiem bertegas, kisah peribadi, terutama membabitkan isu rumah tangganya masih kekal dalam kotak simpanan dan ‘dikunci’ dengan rapi.

Seperti sudah boleh mengagak soalan yang bakal diajukan, pelantun lagu Tergantung Sepi itu nampak tenang sewaktu menjawab soalan.

Sesekali dia tertawa sehingga menampakkan giginya yang tersusun putih.

“Komen saya? Tiada komen. Hanya doakan yang terbaik. Dari segi mental isteri, semuanya okey,” jawab Haqiem ringkas.

Dia seakan-akan memberi bayangan untuk tidak mahu melanjutkan perbualan tentang rumah tangganya.

Bukan niat untuk menjaga tepi kain orang, penulis cuba beralih ke perbahasan lanjut dengan bertanyakan pula perihal cahaya mata. Haqiem dan Anis sendiri sudah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Haqiem kini dalam proses mengeluarkan sebuah single baharu yang mengetengahkan konsep muzik seperti era 1990-an.

Sekali lagi, bekas naib juara program Idola Kecil musim pertama itu memberikan jawapan ringkas, namun cukup bermakna.

“Saya berserah kepada Allah dan tidak menetapkan apa-apa perancangan. Kalau keluarga tanya sekali pun, jawapan saya mudah sahaja, semua itu atas urusan Tuhan.

“Bahkan jika 10 tahun akan datang sekali pun, jika saya masih tidak dikurniakan cahaya mata, jawapannya tetap sama.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana yang tetapkan adalah Dia,” jawab Haqiem sambil membetulkan posisi duduknya supaya lebih selesa.

Populariti merudum?

Puas diselongkar kisah rumah tangga, perbualan kemudian terarah perihal karier, terutama membabitkan popularitinya sebagai artis.

BUKAN lagi berstatus bujang, Haqiem tetap bersyukur apabila masih memiliki sekelompok peminat yang tetap memuja karya muziknya.

Tanpa berbasa-basi, Haqiem cukup sedar, bahawa dia mengambil keputusan mengakhiri zaman bujang pada usia agak muda, saat kerjaya nyanyiannya berada di puncak populariti.

Kata anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu, dia tahu dan sudah pun maklum risiko perkahwinan buat seseorang artis.

“Bagi saya itu adalah lumrah (kejatuhan). Saya berkahwin pada ketika nama berada di puncak.

“Pada tahun yang sama juga, saya baru sahaja memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-34 dan beberapa anugerah lain.

Tahun kelam

“Saya sudah bersedia dan tahu apa yang akan terjadi kepada seseorang artis selepas berkahwin. Mungkin ada sesetengah mereka takut untuk berkahwin ketika sedang menikmati zaman gemilang.

“Tapi bagi saya, buat apa nak takut? Kerana rezeki itu adalah milik Allah SWT,” katanya.

Kongsi Haqiem, sebelum berkahwin, dia pernah melalui waktu sukar apabila banyak lagu yang dihasilkannya tidak menjadi.

“Tahun 2019 saya sifatkan sebagai tahun ‘kelam’ saya. Lagu-lagu yang saya buat tidak menjadi, sebelum saya hadir dengan lagu Mimpi, setahun kemudian (2020).

“Di situ kita nampak ada waktu naik dan ada waktu turun. Ada zaman kegemilangan dan ada zaman kejatuhan.

“Jadi, saya boleh sifatkan, perjalanan muzik saya tidaklah membosankan.

“Mana tahu satu hari nanti, kalau ada yang mahu buat dokumentari tentang hidup saya, jalan ceritanya tidaklah terlalu hambar,” katanya yang tidak menyesal apabila membuat keputusan untuk berumah tangga pada usia yang muda.

Penerbit lagu

Menjalani tahun 2024 dengan beberapa perancangan yang telah disusun, Haqiem menetapkan sasaran menjadi seorang penerbit lagu (music producer) pada tahun ini.

Kata Haqiem, impiannya untuk bergelar penerbit lagu telah lama diidam-idamkan, malah dia telah pun membeli perlengkapan, namun tidak tercapai kerana prosesnya sukar dan memakan masa.

“Untuk tahun ini, saya impikan untuk menjadi seorang penerbit lagu.

“Saya akan terbitkan lagu untuk penyanyi-penyanyi lain.

“Saya pernah cuba untuk jadi penerbit lagu sebelum ini, namun gagal kerana prosesnya yang sukar dan memakan masa.

“Bila saya beli peralatan, saya fikirkan boleh buat selepas sebulan dua, tetapi tidak.

“Kena makan masa bertahun-tahun. Jadi untuk tahun 2024 ini, barulah saya telah bersedia,” ujarnya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN