PETALING JAYA – Seorang anggota polis wanita bertindak menjaga kanak-kanak lelaki daripada orang kelainan upaya (OKU) yang ditinggalkan di Balai Polis Bentong, atas dasar kebajikan selepas ibunya ditahan dan dituduh kerana melakukan kesalahan jenayah komersial.
Lans Koperal Siti Sarah Ariffin memberikan sedikit bantuan dengan menukarkan pakaian serta lampin baharu yang dibeli oleh rakan setugasnya, Koperal Ahmad Fathi Abdillah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kanak-kanak OKU berusia enam tahun itu ditinggalkan oleh seorang lelaki tempatan pada malam 9 Februari lalu dan diserahkan kepada Siti Sarah dalam keadaan tidak terurus.
“Lelaki yang dikenali Mr. Tan memberitahu, ibu kanak-kanak istimewa itu telah ditahan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mahu mengambilnya ketika mahu diserahkan kepada mereka.
“Hasil semakan mendapati, ibunya ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan telah dituduh mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1951 pada 9 Februari lalu.
“Oleh kerana keluarganya tidak membayar jaminan, ibunya dihantar ke Penjara Bentong dan sebutan semula pada hari 14 Mac ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Zaiham, lampin kanak-kanak itu hampir sehari tidak ditukar dan dia juga terkencing di beberapa kerusi berhampiran kaunter aduan di IPD berkenaan.
“Siti Sarah turut memandi dan memakaikan baju milik anak anggota lain,” katanya.
Ujarnya, selepas berbincang dengan lelaki yang meninggalkan kanak-kanak itu, dia bersetuju membawa pulang semula kanak-kanak itu ke rumahnya dan akan menghantarnya ke JKM di Kuala Lumpur.
Menurut Zaiham, beliau selalu mengingatkan anggota dan pegawainya untuk melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian.
“Saya memang galakkan anggota saya buat one good deed a day. Kalau boleh setiap masa,” jelasnya.














