PENYANYI R&B legenda, Usher memberi bukti konkrit kepada dunia bahawa tiada yang mustahil bagi seseorang lelaki melakukan apa yang dimahukan pada usia hampir melepasi garis 50 tahun.
Persembahan Halftime Super Bowl 2024 yang dilunaskan cukup cemerlang dan penuh karisma pemilik nama lengkap Usher Raymond IV itu lagi menguatkan kenyataan pada perenggan sulung di atas.
Pada usia 46 tahun, pemuzik yang terkenal dengan lagu My Boo itu masih lincah menari, listrik vokalnya masih terpelihara dan mampu menggegar dunia dengan magis serta pengaruh muziknya yang pernah malap suatu ketika dahulu disebabkan beberapa tuduhan skandal seks.
Usher juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan tidak semuanya berakhir dengan perkara indah-indah belaka dan itu memberikan tekanan emosi dan fizikal buat mereka yang berada di sekeliling figura ternama itu terutama anak-anak.
Tapi, itu dahulu. 2024 adalah tahun kebangkitan penghibur yang ‘kaya’ dengan deretan hits sedari memulakan karier nyanyian awal 1990-an.
“Kita memang tak boleh lari daripada menjalani kehidupan fikir tentang hari semalam dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Untuk saya, hidup dan nikmati masa sekarang adalah apa yang saya lakukan. Itu adalah rahsia kita menjalani kehidupan dengan sesempurna mungkin,” kata Usher dalam satu temu bual bersama CBS Mornings.
Dari satu perspektif yang lain, wujud kelompok lelaki menghabiskan usia senja cuba ‘meremajakan’ sesuatu yang mustahil.
Dalam erti kata lain, cubaan untuk berpoligami sedangkan kapasiti seseorang lelaki itu terhad termasuk dari segi kewangan, keadilan dan pemberian kasih kepada mereka yang sepatutnya.
Di Malaysia, ramai golongan selebriti lelaki yang mudah ‘lupa diri’ dan hanyut dengan kesenangan yang barangkali bersifat sementara.
Dikurniakan wang dan pengaruh sedikit, mulalah percubaan untuk berkahwin atau berkasih lebih daripada satu. Itu bukan sesuatu yang salah di sisi agama, namun kalau tidak pandai bersikap adil, tepuk dada, tanyalah selera.
“Seorang suami wajib dan akan disoal oleh Allah tentang memberi makan kepada isteri dan anak-anak.
“Maknanya, sehari dua kali dengan makanan yang kenyang. Bergantung kepada situasi atau suasana semasa,” kata Ustaz Wadi Annuar dalam YouTube.
Tulisan ini adalah bersifat umum dan tidak menuding jari secara spesifik kepada mana-mana individu atau pihak.
Kendatipun, dengan lambakan kes turun naik mahkamah, poligami ‘tanpa signal’ dan perceraian yang melibatkan orang popular sepertinya memberi gambaran bahawa segelintir masyarakat tidak faham tentang ajaran yang sebenar-benarnya.
Setiap tindakan atau perbuatan seseorang yang bernafas di muka bumi punya akibat yang tersendiri. Dalam konteks kelakian, kalau sudah berusia dan mempunyai pelan untuk berkasih lebih daripada seorang, fikir dulu kesannya.
Anak yang sedang membesar mungkin ‘terencat’ pembelajaran di sekolah disebabkan kelakuan orang tua mereka. Ada dalam kalangan mereka juga murung walaupun dari segi luaran, hanya senyuman tertancap dan dipamerkan kepada dunia.
















