MINGGU lalu, rata-rata penyokong tegar Liverpool terkejut selepas mendapat berita pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp bakal menamatkan tugas pada akhir musim ini.
Disebabkan itu, ramai peminat The Reds meluahkan rasa sedih dalam media sosial masing-masing dengan berita pemergian pengurus yang berasal dari Jerman tersebut.
Namun, ada segelintir penyokong yang mengucapkan terima kasih dan menghambur pujian melangit kepada Klopp kerana telah memberikan keceriaan kepada mereka selama sembilan tahun.
Sepanjang tempoh itu, Klopp telah menjadikan Liverpool sebagai pasukan yang bermain cantik selain meraih pelbagai trofi sama ada di peringkat domestik atau Eropah.
Klopp merupakan insan penting yang menamatkan kemarau 30 tahun Liverpool tanpa trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selain meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Kelab Dunia.
Penulis sebagai peminat tegar kelab Merseyside itu sejak lewat 90-an turut bersedih dengan pemergian Klopp yang terkenal dengan falsafah permainan ‘gegenpressing’.
Bagaimanapun, penulis memujuk hati dengan pepatah lama yang mengatakan pengurus dan pemain akan datang dan pergi, tetapi kelab sentiasa kekal.
Hakikatnya, dalam hati penulis terdapat kerisauan terhadap masa depan pasukan Liverpool terutamanya selepas melihat nasib yang menimpa Chelsea dan Manchester United (MU) setelah berlakunya pertukaran pengurus pasukan masing-masing.
Kita boleh lihat, MU masih tercari-cari pengurus yang mampu membawa kejayaan seperti zaman Sir Alex Ferguson, manakala Chelsea pula umpama pasukan kerdil selepas kehilangan Thomas Tuchel.
Ketika ini, masih menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat dan pemain Liverpool mengenai susuk yang bakal menduduki kerusi panas kelab tersebut.
Terdapat beberapa nama yang dilihat mampu menggalas tugas besar tersebut antaranya adalah pengurus Bayer Leverkusen yang juga bekas pemain Liverpool, Xabi Alonso.
Nama-nama lain yang dikaitkan adalah Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi; Pengurus Brentford, Thomas Frank; Pengurus Jerman, Julian Nagelsmann dan legenda Liverpool, Steven Gerrard.
Daripada senarai nama-nama berkenaan, Alonso merupakan calon dilihat paling sesuai dan mendapat ‘restu’ daripada kebanyakan penyokong Liverpool.
Selain faktor legenda di Liverpool, Alonso juga dikatakan memiliki bakat besar sebagai pengurus memandangkan bapanya juga pengurus berjaya.
Maka, tidak hairanlah sekiranya beliau mampu mengemudi Leverkusen mendahului carta Bundesliga dengan rekod tanpa kalah.
Walau bagaimanapun, perkara yang menjadi masalah adalah gaya permainan yang diterapkan Alonso sangat berbeza dengan Klopp.
Siapa pun pengganti Klopp, penulis berharap individu tersebut mampu membawa lebih banyak kejayaan kepada Liverpool pada masa akan datang.














