KANGAR – Takut, tamak dan kesunyian.
Itu merupakan tiga faktor dikenal pasti menjadi penyebab utama ramai warga emas terutama pesara di negara ini mudah terjerat dengan sindiket penipuan dalam talian atau online.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, tiga punca itu menjadi perangkap buat golongan pesara dalam pelbagai jenis penipuan online yang dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Kebanyakan scammer suka menakutkan mangsa dengan menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan anggota penguat kuasa lain bagi menimbulkan rasa gerun seolah-olah mangsa ada melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang.
“Ada juga mangsa yang tamak dan mahu mengaut keuntungan dalam masa singkat. Jadi peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sindiket dengan menawarkan pelaburan tidak wujud,” katanya ketika ditemui pada Seminar Jelajah MyPesara Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Perlis 2024 di sini baru-baru ini.
Menurut Kamal Affandi, golongan pesara yang solo pula mudah terjerumus dengan sindiket love scam.

Ahli sindiket penipuan bijak memanipulasi emosi dengan menyusun ayat-ayat cinta bagi memperdaya mangsa yang kesunyian dan mendambakan kasih sayang.
Kosmo! pada 13 Januari lalu melaporkan golongan pesara di Perlis mengalami kerugian RM1.05 juta tahun lalu selepas ditipu sindiket penipuan online termasuk pelaburan tidak wujud.
Mengulas lanjut, Kamal Affandi menjelaskan, golongan pesara menjadi sasaran kerana mereka mempunyai simpanan yang banyak hasil kerja keras selama puluhan tahun, namun akhirnya wang itu lesap angkara scammer.
“Tiga faktor ini berkait dengan kawalan kendiri perasaan pesara. Mereka perlu lebih tenang dan semak sesuatu tawaran itu terlebih dahulu.
“Selain itu, pendedahan mengenai pencegahan penipuan online khususnya dalam kalangan pesara perlu dilakukan dengan lebih berintegriti agar mesej tersebut sampai kepada golongan sasar.
“Penyampaian mesti dilakukan menggunakan kaedah gaya dan laras bahasa yang bersesuaian dengan audien agar mesej berkaitan pencegahan penipuan online dapat ‘dihadam’ golongan ini,” katanya.
Tambah beliau, masih ramai golongan warga emas termasuk pesara tidak mengetahui saluran dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berdepan cubaan jenayah komersial.
“Penglibatan semua pihak termasuk orang muda yang celik teknologi adalah perlu bagi membantu golongan berusia ini agar tidak menjadi mangsa penipuan online,” katanya.














