GUA MUSANG – Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai, Pos Pasik di sini kembali dihimpit ketakutan selepas lima ekor gajah liar kembali menyerang kebun pisang yang diusahakan mereka bersama penduduk Orang Asli berhampiran sekolah tersebut kelmarin.
Ia merupakan kejadian keempat selepas sekolah berkenaan turut digemparkan dengan insiden pencerobohan gajah liar sebelum ini.
Dalam kejadian terbaharu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu, kebun pisang yang diusahakan dua guru, Mohd. Zani Mohd Zain, 46, dan Mohamad Hanif Kamaruddin, 45, bersama seorang lagi penduduk Orang Asli mengalami kemusnahan teruk.
Menurut Mohd. Zani, lebih menyedihkan apabila pokok pisang di kebun terbabit yang terletak di dalam kawasan sekolah sudah membuahkan hasil dan boleh dijual.
Katanya, mereka kerugian lebih RM1,000 apabila sekumpulan gajah liar bertindak merosakkan pokok pisang yang ditanam di kawasan kebun seluas 0.4 hektar.
“Saya menyedari kejadian itu pada petang semalam (kelmarin) ketika datang ke kebun. Kami terkejut dan sangat kecewa kerana pokok pisang sudah membuahkan hasil, namun kami anggap ini bukan rezeki,” katanya.
Mohd. Zani berkata, dia percaya gajah liar terbabit datang secara berkumpulan kerana terdapat banyak kesan tapak kaki berbeza saiz di sekitar kawasan kebun terbabit.
“Pagar elektrik yang dipasang akan berfungsi bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi dan kejadian yang berlaku itu kemungkinan sekitar pukul 10 pagi ketika semua guru berada di sekolah.
“Sebelum ini, gajah liar pernah muncul tiga kali di kawasan perumahan guru dan kawasan sekitar berhampiran sekolah,” katanya.
Seorang lagi guru, Ahmad Najmuddin Ja’afar, 33, berkata, kemunculan gajah liar yang semakin kerap berlaku sejak minggu lalu membimbangkan guru dan kakitangan sekolah terbabit.
“Kami bimbang dengan keselamatan nyawa penduduk sekiranya gangguan haiwan liar ini semakin berterusan. Saya harap tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai kemusnahan kebun pisang di kawasan SK Pasir Linggi, Pos Lebir dan SK Sri Permai, Pos Pasik ekoran pencerobohan gajah liar.














