GUA MUSANG – Seorang peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, di sini, mendakwa menanggung kerugian lebih RM60,000 selepas haiwan ternakan dan tanamannya menjadi mangsa serangan harimau belang dan gajah.
Saadon Setaffa, 62, berkata, kejadian ternakan lembu dan kambing mati dibaham harimau belang dan tanaman seperti pokok pisang serta kelapa sawit dirosakkan gajah liar telah membelenggunya sejak tahun lalu.
Katanya, dia yang menjadi petani dan penternak sejak 40 tahun lalu hampir berputus asa apabila kerugian itu terpaksa ditanggung sendirian tanpa mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,000 pokok pisang dan 500 pokok kelapa sawit di kebun seluas 1.2 hektar telah dimusnahkan sehingga kerugian dianggarkan RM30,000.
“Selain itu, sebanyak 12 ekor lembu dan 17 ekor kambing yang diternak juga telah mati dibaham harimau belang dengan kerugian lebih RM30,000,” katanya ketika ditemui semalam.
Saadon memberitahu, lebih 200 peneroka lain di RKT Kesedar Renok Baru turut menanggung kerugian akibat serangan haiwan liar itu.
Katanya, kejadian itu menyebabkan mereka menanggung kerugian dan bimbang dengan keselamatan diri ketika berada di kebun atau kandang.
“Sebelum ini, penduduk telah membuat beberapa laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, usaha memindahkan gajah atau menangkap harimau belang masih tidak berjaya dilakukan,” katanya.
Tambahnya, dia percaya haiwan seperti harimau sudah kehabisan sumber makanannya iaitu babi liar di dalam hutan, menyebabkan binatang itu keluar dari habitat asal untuk mencari makanan lain.














