SETAKAT artikel ini ditulis, Malaysia masih berkongsi rekod bersama India, Hong Kong, Vietnam dan Kyrgyzstan sebagai pasukan yang belum mengutip sebarang mata di pentas bola sepak Piala Asia 2023.
Daripada lima pasukan di atas, hanya Malaysia, India dan Kyrgyzstan yang gagal menjaringkan sebarang gol selepas melalui dua perlawanan peringkat kumpulan.
Malaysia dan India pula dibolosi dengan jumlah jaringan sama iaitu lima gol. India berada dalam Kumpulan B, manakala Malaysia di Kumpulan E.
Nasib dua pasukan ini sama, menghuni kedudukan tercorot dalam kumpulan. Begitu juga dengan Kyrgyzstan.
Ini adalah penampilan kelima buat India dengan pencapaian terbaik pasukan The Blue Tigers itu adalah muncul naib juara pada edisi 1967.
Bagi Malaysia pula, penampilan kali ini cukup istimewa apabila berjaya menamatkan kemarau 44 tahun untuk tampil secara merit di pentas Piala Asia.
Sebelum itu, Malaysia tiga kali berada di Piala Asia iaitu pada 1976, 1980 dan 2007. Tahun 2007 kita layak atas status sebagai tuan rumah bersama.
Dalam semua penampilan, skuad negara terkandas di peringkat kumpulan.
Ironinya, skaud Harimau Malaya versi Kim Pan-gon kali ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan skuad kebangsaan kendalian M. Kuppan (1976), Mohamed Che Su (1980) dan Norizan Bakar (2007).
Tidak keterlaluan andai dikatakan skuad Piala Asia kali ini sebagai skuad paling lengkap dan mahal yang pernah dimiliki negara.
Tidak cukup dengan itu, Harimau Malaya turut disenaraikan sebagai pasukan kebangsaan paling ramai menggunakan pemain berstatus naturalisasi di Piala Asia 2023.
Empat pemain kebangsaan yang seratus peratus ‘berdarah luar’ ialah Endrick Dos Santos (Brazil), Paulo Josue (Brazil), Romel Morales (Colombia) dan Mohamadou Sumareh (Gambia).
Selain itu, Harimau Malaya juga mendapat sentuhan 10 pemain berdarah kacukan iaitu Matthew Davies, Daniel Ting, Dominic Tan, Junior Eldstal, Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong, Stuart Wilkin, Brendan Gan, Natxo Insa dan Darren Lok.
Berdasarkan dua aksi kumpulan setakat ini, jelas bahawa kudrat pemain naturalisasi terutama kelahiran negara gergasi bola sepak seperti Brazil masih belum cukup untuk menjelmakan sesuatu yang diharapkan.
Malah, tidak keterlaluan andai pujian diberikan kepada barisan anak tempatan bertubuh kerdil seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan Akhyar Rashid yang sedikit memberi gerun kepada lawan menerusi aksi lincah mereka.
Kini, dengan hanya berbaki satu perlawanan sebagai pelengkap jadual menentang Korea Selatan pada Khamis, misi Harimau Malaya tidak banyak.
Cukup sekadar mereka mempamerkan semangat juang tinggi, untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.
Paling tidakpun, 11 pemain yang dipertaruhkan Pan-gon mampu mencuri satu jaringan untuk menjadi ‘buah tangan’ terbaik buat lebih 30 juta penyokong Harimau Malaya di tanah air.













