BATU PAHAT – Polis sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk motif cemburu bagi merungkai kes kehilangan Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang disyaki telah dibunuh ekoran penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di sini Jumaat lalu.
Sumber berkata, ketika ini pihaknya sedang bertungkus lumus mengumpul bukti pembunuhan janda anak dua berusia 32 tahun itu dengan menyoal siasat tiga individu yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
Katanya, cemburu merupakan salah satu motif yang disiasat oleh mereka, namun ketika ini mereka berdepan sedikit kesukaran kerana kekurangan maklumat.
“Soal siasat terhadap suspek sedang dijalankan tetapi mereka tidak banyak bercakap untuk kita membongkarkan apa yang telah terjadi.
“Bagaimanapun, polis mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan bukti dan siasatan sedang diteruskan. Apa yang penting sekarang ialah mendapatkan bukti sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Bella dilaporkan hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Selepas 37 hari, polis menemui rangka manusia di dalam sebuah bilik rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, Jumaat lalu yang dikaitkan dengan Bella.
Jarak rumah Bella dengan lokasi rangka ditemui kira-kira 12 kilometer.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, teman lelaki Bella merupakan antara tiga individu yang sedang direman ketika ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu ditahan reman bersama dua lagi suspek masing-masing berusia 20-an dan 40-an.
“Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) hingga Sabtu ini,” katanya.
Ismail memaklumkan, sampel patalogi rangka manusia yang ditemui kelmarin sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mendapatkan keputusan DNA.
Sebelum ini, polis memaklumkan rangka itu ditemui selepas ditunjukkan oleh salah seorang suspek.
Dalam pada itu, kakak Bella, Norisham, 36, terkilan kerana mendakwa pasukan penyiasat lambat bertindak untuk mengesan kedudukan Bella.
“Apa yang kami dapat selepas 38 hari hanyalah rangka adik. Kenapa masa reman tidak tekan dia habis-habis dan kalau tahu awal, mesti dapat jumpa mayat dan bukannya rangka,” katanya dalam status yang dimuatnaik di Facebook.
Menurut Norisham, mayat sudah tentu dapat dipeluk cium untuk kali terakhir berbanding rangka.
“Kami telah melakukan pelbagai cara mencari bukti bahawa teman lelaki adik ialah orang terakhir bersamanya. Saya dan Bella sering berkongsi hal kehidupan dan dia tidak akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia juga telah telah berusaha memberitahu pegawai penyiasat mengenai maklumat kejadian yang menjurus kepada teman lelaki adiknya tetapi tidak diendahkan kerana siasatan ketika itu menjurus kepada orang hilang.
“Sedangkan saya telah tukar kepada laporan jenayah dan paling kecewa apabila suspek dibebaskan atas alasan mempunyai penyakit tiga serangkai,” katanya.
Dalam pada itu, Norisham menafikan laporan mengatakan ada pihak mahu menghapuskan Bella kerana adiknya tidak mempunyai musuh.
“Saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat sumber berita itu,” katanya.














