fbpx
JAMAIL menunjukkan kaki kirinya yang dipotong akibat penyakit kencing manis bersama isterinya, Rozita di Rumah Murah Benut, Pontian.

‘Saya reda suami sakit, ini ketentuanNya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Jika sebelum ini dirinya merupakan tonggak keluarga, namun sejak 1 November lalu, kehidupan bekas cef, Jamail Abd. Rahman, 55, berubah selepas kaki kirinya dipotong akibat ­penyakit ken­cing manis.

Rentetan itu, segala perbelanjaan keluarga ditanggung isterinya, Rozita Tumirin, 48, melalui hasil menjual kuih-muih di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut di sini setiap pagi.

Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia 14, 16 dan 23 tahun.

Jamail memberitahu, dia pernah bekerja sebagai tukang masak di hotel dan resort sebelum berhenti dan menjalankan perniagaan makanan.

Namun, katanya, selepas kaki dipotong, dia tidak mampu me­lakukan kerja-kerja lain dan melepaskan perniagaannya.

“Kini isteri saya mengambil alih tugas mencari rezeki dengan menjual kuih.

“Kuih berkenaan dihantar ke peniaga di hadapan sekolah dan untung diperoleh antara RM40 hingga RM50 sehari dengan anggaran 20 hingga 30 pek terjual,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambahnya, dia kini me­nerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setiap bulan saya akan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi rawatan dan pemeriksaan susulan dengan perbelanjaan sebanyak RM150, termasuk kos pengangkutan,” katanya yang menyewa rumah dengan kadar RM127 sebulan.

Sementara itu, Rozita berkata, dia hanya membuat enam hingga tujuh jenis kuih setiap hari dan bersyukur jualannya habis dibeli penduduk sekitar dan pelajar ­sekolah.

Katanya, dia reda keadaan yang menimpa suaminya dan akan berusaha bagi mencari pendapatan dengan membuat kuih-muih sama ada dihantar kepada peniaga atau tempahan daripada jiran-jiran.

“Syukur anak sulung telah bekerja dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga Jamail boleh meng­hubunginya di talian 01133675105 atau menghulurkan sumbangan melalui akuan bank miliknya 101020388236 (Maybank).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN