Gua batu kapur terletak di Pahang itu antara lokasi bersejarah bermulanya tamadun Zaman Batu ‘Hoabinhian’ yang diselitkan naratif mitos Sang Kelembai serta beberapa kejadian masih belum tersingkap sepenuhnya sehingga kini.
Gua bersejarah di Taman Warisan Kota Gelanggi iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dari Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara, Pahang itu menzahirkan elemen mitos (legenda) dan realiti.
Sejarah yang mempunyai fakta, pelaku serta kronologi masa mahupun peristiwa lengkap mampu menjadi pedoman serta membina tamadun generasi pada masa akan datang.
Begitu juga dengan mitos, biarpun tidak masuk akal, tetapi turut memberikan inspirasi untuk manusia membina peradaban serta memeta kejayaan dalam hidup.
Berasaskan catatan pengkaji sejarah, Kota Gelanggi berasal daripada perkataan ‘Gelang Kiu’ atau ‘Klang Kio’ dalam bahasa Thai yang bermaksud Treasure House of Jewels’ (Perbendaharaan Permata).
Ia merupakan sebuah bandar purba yang juga disebut di dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Kota tersebut merupakan kompleks gua batu kapur terdiri daripada 12 buah gua, namun yang benar-benar dikenali dan boleh dilawati cuma tujuh buah gua iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota Kepayang.
Aktivis bahasa dan pesara guru di Jerantut, Norzari Yahya berkata, mengikut catatan sejarawan British, Dr. W. Linehan dan W. Cameron, Kota Gelanggi berasal daripada istana seorang raja silam yang telah bertukar menjadi batu kerana ditegur (disumpah) Sang Kelembai.
“Legenda Kota Gelanggi yang diceritakan oleh orang-orang terdahulu pula berkisar peristiwa peperangan kerana perebutan seorang puteri jelita, anak Raja Gelanggi. Peperangan itu berlaku di antara Raja Mambang dengan Raja Usul.
“Anak Raja Mambang dari Lipis telah jatuh cinta dengan Puteri Gelanggi dan kemudian melamarnya.
“Lamarannya itu diterima oleh Raja Gelanggi, tetapi puteri itu tidak berminat dengan anak Raja Mambang,” kongsinya kepada Panorama di Pulau Tawar, Jerantut baru-baru ini.
Menurut Norzari, kisah itu menjadi dramatik apabila anak Raja Usul yang memerintah Bera pergi berburu di kawasan berdekatan Kota Gelanggi dan secara kebetulan bersua dengan puteri itu lalu terus jatuh cinta sehingga bersetuju untuk berkahwin.
“Anak Raja Mambang sangat marah sehingga terjadilah pergaduhan selama beberapa hari dan akhirnya kemenangan berpihak kepada anak Raja Usul dan mengahwini puteri Raja Gelanggi,” katanya.
Ujarnya, mitos daripada buah mulut orang dahulu mengatakan kerajaan Kota Gelanggi berakhir dan binasa setelah ditegur (disumpah) oleh Sang Kelembai yang dipercayai objek menyerupai haiwan atau peralatan tertentu.
Norzari menambah, sejarah Pahang juga ada mencatatkan seorang pemerintah besar negeri, Bendahara Wan Ahmad sendiri amat tertarik dengan legenda gua Kota Gelanggi dan menitahkan Tok Gajah di Kampung Pulau Tawar serta pengikutnya meninjau dan memeriksa Kota Gelanggi pada 1872.
Katanya, pada 1882, Bendahara Wan Ahmad melawat ke serata tempat dalam Pahang termasuk mengunjungi gua yang masyhur iaitu Kota Gelanggi di Kampung Pulau Tawar.
Dari sudut arkeologi pula, bekas Pengarah Muzium Negara, Datuk Dr. Adi Taha berkata, di gua batu kapur itu merupakan lokasi pembangunan peradaban manusia ‘Hoabinhian’ (prasejarah) atau dalam bahasa Vietnam ‘Hoa-binh’ sejak lebih 4,000 tahun lampau.

Adi yang pernah mengetuai pasukan Jabatan Antikuiti Muzium dan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui artifak tembikar, peralatan berburu, pertanian, pengebumian, senjata, perhiasan, makanan dan beberapa kesan budaya manusia zaman Neolitik semasa projek cari gali di Gua Angin, Kota Gelanggi.
Beliau dan rakannya yang juga bekas pegawai penyelidik dari Jabatan Antikuiti, Muzium Negara, Zulkifli Jaafar seterusnya melakukan tiga kali ekskavasi bermula pada 1980 di Gua Angin dan Gua Tongkat.
Ia bagi membuktikan manusia Hoabinhian, era Neolitik hinggalah ke zaman logam sudah membina kehidupan di kawasan itu.
“Buktinya, penemuan artifak di Gua Angin bahawa manusia prasejarah mengalami perubahan hidup bermula daripada kegiatan memburu kepada mahir bercucuk tanam, memasak dan mempunyai kepercayaan serta budaya membina peradaban,” katanya.
Antara objek yang ditemui ialah tembikar masih sempurna, serpihan batu, tanah liat (poetry), manik, siput laut, kapak, tulang rahang, beliung untuk kegiatan pertanian, alat berburu dan perhiasan.
Jelasnya, penemuan awal itu memberi petanda bahawa kawasan Kota Gelanggi masih banyak menyimpan artifak prasejarah yang tersembunyi di rangkaian 12 buah gua di situ, malah perlu dipulihara untuk pembangunan pelancongan berasaskan bidang arkeologi dan sejarah (arkeotourism).
Katanya, kompleks Gua Kota Gelanggi antara kawasan penting yang menyimpan artifak prasejarah negara dan mula diterokai oleh arkeologis British iaitu IHN Evan dan BAV Peacock pada awal 1920-an.

Kajian di situ turut dilakukan oleh para arkeologi Muzium Negara dan Universiti Malaya yang telah menjumpai tengkorak manusia berusia sekitar 3,000 tahun dalam ekskavasi di Kota Tongkat.
Penemuan artifak zaman Hoabinhian, Neolitik dan logam itu membuktikan kehidupan manusia zaman prasejarah di negara ini iaitu antara tertua di Asia Tenggara.
Gua Kota Gelanggi dilihat berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan berasaskan arkeotourism di Malaysia.
Disiplin arkeologi merupakan cabang pendidikan bagi membantu generasi akan datang mengenali corak kehidupan dan tamadun sesuatu bangsa.
Dalam pada itu, pencinta sejarah dan alam sekitar, Hadi Aznan berkata, cerita mitos dan artifak sejarah zaman batu mampu membina peradaban, sikap serta pemikiran generasi muda yang kemaruk dengan gajet.
“Mitos sejarah berkemungkinan ada kebenarannya yang boleh diteladani.
“Manakala artifak manusia ‘Hoabinhian’ perlu dibuat kajian lebih mendalam oleh pihak tertentu termasuk geologis.
“Taman Warisan Kota Gelanggi perlu dikekalkan serta dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan, sekali gus menjadi aset kepada program pelancongan di negeri ini,” katanya.
Ketua Satu Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Jerantut, Nasruddin Ramli berkata, menurut cerita orang-orang tua di Pulau Tawar, Kota Gelanggi tidak dapat ditemui, sebaliknya hanya konotasi.
Tempat dan peristiwa itu dikaitkan sebagai lokasi kediaman orang ghaib (bunian).
“Dipercayai Kota Gelanggi merupakan sebuah kerajaan tertua dengan pelbagai misteri.
“Tetapi, bila ia bermula dan berakhir tidaklah diketahui.
“Namun, ia merupakan mitos dalam sejarah yang perlu lagi dikaji serta dibuktikan,” katanya.
Ujarnya, pernah diceritakan orang-orang tua, penduduk Kota Gelanggi (orang bunian) beberapa kali hadir ke majlis kenduri kahwin penduduk Kampung Perian (sebuah kampung di Pulau Tawar) sebelum ini.
“Anehnya, tiada seorang pun tetamu (bunian) dari Kota Gelanggi itu dikenali penduduk setempat.
“Mereka cuma hadir membawa buah tangan hasil hutan dan ternakan serta membantu memasak.
“Kemudian, mereka pulang (hilang dari pandangan) selepas majlis tersebut selesai,” katanya sebelum menutup bicara.














