Tahun 2023 adalah ‘tempoh peralihan’ ekonomi negara dan tahun ini merupakan ‘tahun pelaksanaan’ dasar yang sudah dirancang. Justeru, mengikut unjuran penganalisis dan pakar, ekonomi negara dijangka menjadi lebih mantap meskipun terus berdepan pasaran global tidak menentu.
Pertumbuhan ekonomi negara juga dijangka kekal sederhana pada tahun ini, berkembang sekitar 4.5 peratus hingga 4.75 peratus sekiranya eksport terus menunjukkan trend penurunan terutamanya dalam sektor eksport semikonduktor yang lemah.
Bagi merungkai dan mengulas lebih lanjut mengenai jangkaan ekonomi 2024 dan implikasinya terhadap kesejahteraan dan pendapatan rakyat, wartawan Kosmo Ahad!, SAIRUL ZAMRI MISRANI berpeluang menemu bual Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhammed Abdul Khalid baru-baru ini.
KOSMO AHAD: Pada pandangan Dr. apakah jangkaan ekonomi negara pada tahun ini? Bagaimana pula dengan tahap kesejahteraan rakyat terutamanya berdasarkan agihan pendapatan dalam masyarakat?
MUHAMMED: Ekonomi masih akan berkembang, tetapi kita akan menghadapi cabaran yang mencabar pada tahun ini. Ia mengambil kira dua faktor utama.
Pertamanya, ekonomi global semakin perlahan.
Dua ekonomi terbesar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China yang menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia akan mengalami pertumbuhan lebih perlahan.
Ekonomi AS dijangka berkembang kurang daripada 2 peratus dan China kurang daripada 5 peratus.
Ia kesan daripada dasar monetari yang ketat dan inflasi agak ketara di AS, manakala kelembapan pasaran hartanah memberi impak kepada perbelanjaan isi rumah di China.
Malah, kita sudah pun mengalami kesan kelembapan ekonomi China dengan perdagangan dari negara Tembok Besar itu menyusut kira-kira 10 peratus pada sembilan bulan pertama tahun lepas, terutamanya disebabkan eksport yang lebih perlahan.
Walaupun persekitaran global yang mencabar, namun ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun ini.
Sebahagian daripada pertumbuhan akan datang daripada perbelanjaan swasta kerana kadar pengangguran telah menurun dan pertumbuhan pendapatan menjadi positif.
Namun, kita harus berhati-hati kerana kadar hutang isi rumah masih tinggi iaitu antara tertinggi di rantau ini, malah lebih tinggi daripada hutang negara.
Dari aspek pelancongan pula, ia dijangka lebih baik daripada tahun lalu terutamanya dengan dasar bebas visa untuk negara tertentu, khususnya pelawat dari India dan China.
Ada penganalisis melihat, 2024 sebagai tahun pelaksanaan pelbagai dasar yang dirancang oleh kerajaan. Jadi, ekonomi disasarkan akan lebih mantap menerusi langkah-langkah dilakukan. Apakah pendapat Dr. mengenai pandangan ini?
Meskipun ekonomi akan berkembang, ia harus memanfaatkan semua lapisan masyarakat.
Tidak ada ertinya jika ekonomi berkembang, namun rakyat masih hidup susah.
Saya bimbang tentang kesan penstrukturan subsidi terhadap isi rumah, tetapi bantuan tunai mesti diberikan untuk mengatasi kesan kenaikan harga kelak.
Kerajaan juga telah mengumumkan bahawa penyingkiran subsidi petrol akan bermula pada pertengahan tahun ini, manakala penarikan subsidi elektrik untuk kumpulan tertentu akan bermula awal 2024.
Ini polisi yang baik, terutamanya subsidi minyak yang ketika ini lebih memberi manfaat kepada golongan kaya dan pertengahan.
Namun, memandangkan bahan api dan elektrik adalah kos input utama, harga barang lain dijangka akan meningkat seterusnya menghakis kuasa beli pengguna.
Justeru, penjimatan daripada subsidi pukal ini seharusnya disalurkan kepada mereka yang terkesan, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Jangan menyusahkan rakyat, bagi sahaja bantuan tunai terus ke dalam akaun bank mereka, tak perlu buat kad petrol ataupun benda yang menyusahkan.
Walaupun penting untuk memastikan bantuan sosial tertentu disasarkan, namun kita juga tidak boleh terlalu populis.
Subsidi tambang perjalanan udara dan subsidi pembelian kereta elektrik (EV) melalui pelepasan cukai tidak seharusnya diteruskan.
Kita tidak boleh memberi subsidi untuk orang pergi berjalan dan balik kampung atau orang kaya beli kereta.
Ia jauh lebih optimum sekiranya dana itu digunakan untuk memberi biasiswa atau memperbaiki keadaan kesihatan dalam kalangan anak-anak kita yang terbantut.
Jika duit tidak cukup untuk memberi bantuan makanan, potong sahaja pencen ahli parlimen. Lebih baik semua ahli parlimen berada di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penjimatan pencen ini digunakan untuk menampung kos bantuan makanan persekolahan percuma atau disalurkan kepada orang miskin.
Kita dapati, kerajaan Madani agresif merasionalkan subsidi dan memperkenalkan cukai baharu. Secara teorinya, langkah ini akan meningkatkan kos sara hidup. Adakah langkah ini wajar dilakukan memandangkan hutang negara yang terlalu tinggi?
Cukai mesti adil. Cukai 10 peratus bagi pembelian barang bernilai rendah (LGV) dalam talian ini tepat. Hal ini kerana ia lebih adil.
Tanpa cukai ini, penjual tempatan dikenakan cukai jualan 10 peratus , tetapi penjual luar negara yang menjual dalam talian ke Malaysia tidak dikenakan cukai.
Cukai ini dianggarkan akan memberi RM200 juta kepada kerajaan. Namun, ia dipulangkan menerusi subsidi pemberian EV.
Cukai LGV akan memberi kesan kepada pembeli yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah, manakala pembeli kereta EV adalah golongan berduit.
Sebagai contoh, apabila Mak Cik Kiah membeli kereta Myvi atau Viva berjumlah RM40,000, dia harus membayar cukai jualan dan cukai jalan, tetapi si kaya yang membeli Mercedes EV berjumlah RM400,000 tidak dikenakan cukai langsung.
Pada pendapat Dr., adakah usaha-usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini mampu merapatkan jurang pendapatan yang melebar antara golongan bawahan dengan atasan?
Kita dapati jurang orang kaya dengan miskin di negara ini semakin melebar.
Sistem percukaian dan bantuan sosial yang lebih progresif adalah penting untuk mengurangkan jurang.
Ketika ini, jurang pendapatan semakin teruk. Setiap RM1 pendapatan yang dijana dari perkembangan ekonomi, peratusan yang diperolehi oleh golongan B40 hanya 16 sen pada tahun 2022, lebih teruk berbanding tahun 2014 (16.8 sen) dan tahun 2016 (16.4 sen).
Sudahlah sikit, makin mengecil pula. Jurang bukan hanya dari segi pendapatan isi rumah, malah pemilikan aset. Contohnya, simpanan atau pelaburan di KWSP dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Ini kerana dasar Menteri Kewangan dahulu ketika pandemik Covid-19 yang sangat kedekut dan tidak bertanggungjawab dengan memaksa rakyat mengeluarkan simpanan hari tua.
Akibatnya, yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin.
Kesannya jelas, simpanan golongan T20 di KWSP naik sebanyak 8 peratus, manakala simpanan B40 jatuh merudum sebanyak 71 peratus, terutamanya kaum Melayu, di mana simpanan jatuh 75 peratus.
Secara purata, orang Melayu hanya mampu berbelanja sebanyak RM18 sebulan sepanjang pencen nanti.
Orang Melayu terutamanya akan pencen dalam kemiskinan kerana dasar ini. Jurang juga tinggi dalam pemilikan aset.
Pada tahun 2022, lebih kurang 76 peratus penyimpan di ASB atau 8 juta penyimpan mempunyai purata simpanan sebanyak RM605.
Tiga perkara yang penting harus dilakukan untuk mengurangkan jurang dan impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.
Pertama, dasar percukaian yang progresif yang kini sedikit sebanyak mula dilakukan oleh kerajaan amatlah penting.
Kedua, bantuan dan subsidi perlulah lebih tepat dan bersasar. Ketiga, peluang pendidikan yang adil dan berkualiti untuk semua.
Kualiti dan akses kepada pendidikan yang baik penting untuk mobiliti sosial terutamanya kepada anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah.
Tingkatkan kuota dan pengambilan untuk anak-anak orang miskin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh, selain memastikan kualiti pembelajaran di semua peringkat pada tahap baik.
Ketika ini, kurang daripada separuh pelajar di MRSM adalah golongan B40, walhal kuota yang diperuntukkan untuk pelajar B40 adalah 60 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkenal sebagai pejuang kemiskinan dan usaha itu masih diteruskan ketika ini. Menerusi pendekatan semasa kerajaan ketika ini, adakah kemiskinan ini mampu dinoktahkan termasuk kemiskinan bandar?
Kemiskinan haruslah diukur daripada segala sudut, bukan hanya dari segi pendapatan. Data yang ada menunjukan kadar kemiskinan naik pada tahun 2022 berbanding 2019.
Ini sedikit sebanyak kerana dasar kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19. Kerajaan kedekut ketika itu, rakyat terutamanya golongan susah terpaksa mengeluarkan wang sendiri daripada simpanan hari tua untuk menyara kehidupan.
Kanak-kanak kita pula semakin bantut berbanding kanak kanak di negara lain, walaupun negara kita makin kaya.
Nasihat pejuang kemiskinan yang ulung, Prof. Ungku Aziz masih penting iaitu pastikan kanak-kanak kita sihat kerana tanpa pemakanan yang baik, mereka tidak akan dapat mencapai pembelajaran mantap.
Tahun lepas, data menunjukan pelajar kita juga kebelakang dalam tahap pendidikan mereka berbanding negara lain, di mana 42 peratus pelajar berumur 10 tahun di
Malaysia tidak cekap atau mahir dalam pemahaman, berbanding hanya 3 ke 4 peratus di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Isunya bukan soal wang kerana lebih baik wang cukai rakyat digunakan untuk program ini daripada membazir membina Transit Aliran Ringan (LRT) 3 atau Projek Rel
Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang menguntungkan negara jiran.
Hentikan projek mega dan gunakan wang tersebut untuk membasmi kemiskinan. Jika kita jujur dan ikhlas, jurang kekayaan dan kadar kemiskinan boleh dikurangkan dengan ketara.
Pemimpin dahulu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan menakjubkan sekali dan jurang juga dapat dikecilkan.
Kerajaan juga komited untuk melaksanakan dasar gaji progresif tidak lama lagi. Bagaimana pendapat Dr. mengenai pendekatan ini, adakah ia mampu dilaksanakan di negara ini?
Dari segi pelaksanaan, ia tiada masalah dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan. Adakah ia dapat tingkatkan tangga gaji rakyat agar selari dengan pencapaian negara maju?
Saya rasa masih belum cukup, malah tidak selari janji yang telah dinyatakan di dalam RMK-12. Dasar gaji progresif tidak akan memberi kesan ketara kepada gaji pekerja.
Pada masa ini, pekerja di Malaysia hanya menerima 32 peratus daripada pendapatan negara, manakala kira-kira 60 peratus dimiliki majikan.
Malaysia meletakkan sasaran untuk meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus pada 2025, tahun depan.
Namun, menurut kertas putih dasar gaji progresif, pelaksanaan dasar gaji ini hanya akan meningkatkan gaji pekerja sebanyak 0.2 peratus daripada kadar sekarang. Ia jauh lebih rendah daripada sasaran 40 peratus.
Harus diingat, negara lain yang mempunyai tahap pembangunan sama dengan Malaysia seperti Afrika Selatan memastikan kira-kira separuh daripada pendapatan negara disalurkan kepada pekerja.
Dengan kekuatan kerajaan ketika ini , ia mewujudkan keadaan politik lebih stabil. Adakah kestabilan ini mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi?
Ya, sudah tentu, sekiranya kita mempunyai pasukan yang cekap, berani, jujur dan tidak korup, ia akan memacu ekonomi negara dengan dasar-dasar ekonomi progresif.














