fbpx
MUHD. AIDIL (kanan) dan Nor Syahirah bersama rakan mereka, Nurwahida dan Nursuhada Roslim mengulangkaji pelajaran di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru Masai, Johor Bahru semalam.

Banjir: Calon SPM tidak patah semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Biarpun terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal bersemangat menghadapi peperiksaan pen­ting itu dua hari lagi.

Menurut Nor Syahirah Azrin, 18, dia akan lakukan yang terbaik untuk memastikan masa depan lebih cemerlang biarpun terbit rasa sedih apabila rumahnya ditenggelami banjir.

“Keadaan ini tidak mematahkan semangat saya, abang dulu juga menduduki SPM sebagai mangsa banjir. Ini perkara biasa dilalui kami,” katanya yang mahu menyambung pelajaran dalam bidang kimpalan.

Tambah Nor Syahirah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang di sini, kediaman­nya dinaiki air kira-kira pukul 6.30 pagi kelmarin ketika sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Melihat keadaan itu, saya terus menyelamatkan dokumen-dokumen penting dan mujurlah buku-buku teks dan nota berada di tempat selamat, cuma baju sekolah ditenggelami banjir.

“Air masuk dengan cepat, ha­nya dalam tempoh 15 minit, saya dan keluarga kemudian terus bergegas ke PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pukul 8 pagi,” katanya.

Ujian Bertutur peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris masing-masing bermula 8 hingga 11 Januari ini, diikuti 17 hingga 23 Januari.

Peperiksaan bertulis pula bermula 30 Januari hingga 7 Mac.

Seorang lagi calon SPM, Muhd. Aidil Haqimi Abu Bakar, 18, memberitahu, sejujurnya dia sudah penat berdepan banjir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang, di sini.

“Memang kawasan kampung ini kerap ditenggelami banjir, ada sesetengah kawasan akan ditenggelami air hanya selepas satu atau dua jam hujan lebat berterusan. Jadi boleh dikatakan hampir setiap bulan akan berlaku bah.

“Walaupun sudah lali dengan kejadian banjir seperti ini, namun masih rasa sedih apatah lagi kejadian kali ini berlaku ketika saya mahu menduduki SPM, jadi rasa lemah semangat sedikit” ujarnya.

Muhd. Aidil Haqimi bagaima­napun berkata, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan penting ber­kenaan bagi mencapai cita-cita menjadi seorang tentera darat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN