fbpx
Motosikal ditunggang Norsarizad dan abangnya yang terbabit dalam nahas di Kilometer 30, Jalan Lipis-Sungai Koyan berdekatan Kampung Sungai Ular, Lipis pada Jumaat lalu.

‘Arwah beritahu dia akan pergi, ingat dia bergurau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Remaja lelaki berusia 19 tahun yang maut dalam nahas di Kilometer 30, Jalan Lipis-Sungai Koyan, di sini Jumaat lalu, baru sehari mencari rezeki buat keluarga dengan bekerja di sebuah kedai di bandar Kuala Lipis.

Bapa mangsa, Nordin Bahtri, 44, berkata, Norsarizad yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu bekerja sebagai pembantu kedai, manakala abang remaja itu yang berusia 20 tahun sudah seminggu bekerja di premis yang sama.

“Saya membenarkan mereka bekerja walaupun bandar Kuala Lipis agak jauh dari kampung di Pos Betau demi untuk mendapatkan kemahiran berniaga di samping mencari pendapatan menampung perbelanjaan keluarga kami.

“Arwah anak menunggang motosikal dan abangnya membonceng sewaktu kemalangan itu berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Lipis di sini semalam.

Menurut Nordin, dia mengetahui kemalangan itu pada pukul 9 malam dan bergegas ke Hospital Lipis untuk melihat keadaan ke­dua-dua anaknya sebelum mendapat tahu Norsarizad meninggal dunia. Seorang lagi anaknya cedera parah.

Nordin berkata, arwah anak­nya kelihatan gembira dan tidak sabar untuk memulakan kerja bersama abangnya pada hari kejadian.

“Beberapa hari lalu, arwah anak ada beritahu ibunya dia (Norsarizad) akan pergi selama-lamanya dan berulang kali menyebut hal itu. Kami tidak mengesyaki apa-apa kerana arwah sering bergurau.

“Cuma saya tidak menyangka gurauan ini menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya.

Nordin turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Came­ron Highlands kerana menghantar jenazah anaknya ke Pos Betau untuk dikebumikan pukul 1 te­ngah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor memberitahu, kemalangan tersebut melibatkan motosikal dinaiki dua beradik itu dengan sebuah kereta pada pukul 8.30 malam, Jumaat lalu.

“Siasatan mendapati nahas berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa terbabas. Kenderaan itu kemudiannya memasuki ke laluan bertenta­ngan dan bertembung sebelum diseret kereta jenis Perodua Kancil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN