ERIC bergambar bersama imej yang dirakamnya pada Pameran Arkib Eric Peris di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Dunia fotografi hitam putih Eric Peris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hitam putih, itulah warna yang dapat dilihat pada setiap gambar pada dinding di Galeri Potret Negara, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Meskipun gambar-gambar itu terhasil daripada dua kombinasi warna sahaja, namun jika diamati, ia mempunyai seninya yang tersendiri.

Sebenarnya, gambar-gambar yang dipamerkan di galeri itu adalah hasil karya Eric Peric.

Eric merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi peminat hasil seni fotografi tempatan terutamanya gambar hitam putih.

Eric merupakan seorang jurufoto veteran yang kini berusia 84 tahun serta tokoh penting dalam dunia fotografi di Malaysia.

Sebagai penghormatan terhadap karyanya, Balai Seni Negara telah mengadakan Pameran Arkib Eric Peris dengan menggali perjalanan artistiknya secara lebih mendalam.

Ia termasuk sumbangannya terhadap perkembangan fotografi jurnalis dan seni rupa halus yang mencerminkan keunikan Malaysia.

Untuk makluman, Eric memulakan kerjaya sebagai fotografi jurnalis di majalah Fanfare di Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas di New Straits Times (NST) pada 1970.

Ketika di NST, dia membina portfolio sendiri dan banyak menghasilkan gambar ikonik. Selain itu, Eric banyak menghasilkan esei foto dan menulis artikel tentang fotografi.

Eric mula mengadakan pameran foto pertama pada 1982 dan aktif sehingga kini. Dia sudah mengadakan hampir 43 pameran foto secara solo.

Antara koleksi yang masyhur ialah Siri Tingkap, Cahaya dan Bayang, Koleksi Penari, Rural Malaya dan Malayan Tin Mine.

Mengulas tentang penglibatannya dalam dunia fotografi, Eric berkata, ketika berumur 12 tahun, dia sudah mula berminat dengan bidang itu.

“Satu hari saya melihat ibu saudara saya membawa sebuah kamera dan saya begitu teruja.

“Tetapi pada ketika itu, ayah saya mahu saya memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu,” katanya yang membesar di Muar, Johor.

Namun begitu, Eric masih menunjukkan minat dalam fotografi, sebelum ayahnya membeli sebuah kamera.

Pada masa sama, bapanya meminta Eric supaya tetap mengutamakan pelajaran.

Setelah tamat tingkatan lima, ayahnya menyatakan bahawa minat sahaja tidak mencukupi.

Sebaliknya, Eric perlu terlibat dalam bidang itu untuk menjadi hebat.

Setelah tamat pengajian, dia pergi ke Singapura, sebelum rakannya memperkenalkan Eric kepada penerbit Fanfare yang merupakan majalah pop terkenal ketika itu.

“Saya kemudian menyertai majalah itu dengan menjadi wartawan.

Keratan akhbar mengenai panduan mengambil gambar yang ditulis oleh Eric.

“Satu minggu kemudian, editor bertanya kepada saya sama ada saya tahu atau tidak cara mengambil gambar.

“Saya kata ya, kemudian dia minta saya untuk ambil kamera dan pergi mengambil beberapa keping gambar,” terangnya.

Eric kemudian keluar mengambil gambar, sebelum menunjukkan hasil karyanya itu kepada editor.

Editor tersebut meneliti hasil imej yang diambilnya sebelum memaklumkan bahawa dia berbakat dalam mengambil gambar dan menulis.

“Saya amat teruja kerana itulah yang saya mahukan. Ketika saya ingin berjalan keluar dari biliknya, dia mengingatkan saya bahawa kita boleh terlepas cerita dan boleh mendapatkannya kembali.

“Tetapi jika kita terlepas gambar, anda ‘mati’,” jelasnya.

Tambahnya, dia masih ingat kata-kata tersebut sehingga kini.

Selepas beberapa tahun Singapura dan Malaysia berpisah, Eric kemudian memutuskan untuk datang ke Kuala Lumpur dan bertugas di akhbar NST pada 1970 sebelum bersara pada 1994.

Eric memaklumkan, sejak kecil, dia diarah untuk berfikir sebelum mengolah keindahan dan mesej yang ingin disampaikan dalam persekitaran berbeza.

Eric menyatakan bahawa pemikiran itu terhasil atas jasa bapanya yang selalu menasihati dan mendidik secara konsisten.

“Guru saya dalam bidang fotografi adalah ayah dan ibu kerana mereka kedua-dua mereka adalah artis.

“Mereka tidak pernah menyatakan bahawa gambar yang saya rakam adalah salah.

“Apabila melihat gambar yang saya rakam, mereka mengatakan bahawa tidakkah saya berfikir untuk memperbaikinya,” katanya.

Dari situ, dia mula sedar untuk sentiasa menghasilkan karya terbaik.

Dalam pada itu, Eric mempunyai alasan tersendiri dalam menghasilkan gambar hitam putih secara eksklusif.

Ini kerana pada zamannya itu, filem hitam putih lebih murah berbanding filem berwarna.

“Apa yang lebih penting, imej hitam putih atau monokrom ini mempunyai misteri tersendiri dan ia menjadikannya cukup menarik.

“Dalam gambar hitam putih, anda memberi perhatian kepada bentuk dan reka bentuk.

“Itulah sebabnya hitam dan putih lebih mengujakan saya,” terangnya.

Seiring berjalannya waktu, bidang fotografi juga telah berubah. Kini, kebanyakan jurugambar mengguna kamera digital, manakala ketika zaman Eric kamera analog menjadi pilihan.

Ketika ditanya mengenai perbezaan kedua-dua kemera itu, Eric berkata, ia tidak mempunyai perbezaan besar.

Menurutnya, perkara paling asas adalah imej itu sendiri.

“Sama ada mengambil gambar secara digital atau menerusi kamera analog, ia sebenarnya bergantung kepada mata kita sendiri.

“Adakah kita sudah merakam imej yang betul? Adakah gambar itu menegak atau mendatar?

“Semua keputusan itu datang daripada diri kita sendiri,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN