PETALING JAYA – “Saya mempunyai hajat dan minta tolong sampaikan kepada Aina Abdul yang saya teringin sangat dia buatkan lagu untuk saya.”
Demikian permintaan pelakon Arja Lee yang memasang niat untuk kembali ke bidang nyanyian dengan merakamkan lagu ciptaan penyanyi dan komposer hebat seperti Aina Abdul.
Arja, 40, mengakui sangat meminati Aina selain menyifatkannya sebagai figura berbakat besar sehingga mampu meraih kecemerlangan dalam bidang nyanyian.
“Pada pandangan saya Aina seorang penyanyi yang sangat bijak dan kaya dengan ilmu, meskipun dia masih baharu.
“Saya peminat dia dan ikut perkembangan dia di Instagram sehingga jatuh hati dengan karya dan liriknya, dia penyanyi yang memiliki jiwa besar.
“Saya melihat dia figura kental, dia tahu dia tidak berapa comel, jadinya dia menggunakan makanisme serta komponen lain untuk tunjukkan bakat sebenarnya,” katanya usai sidang akhbar filem Sayu Yang Syukur, semalam.
Sementara itu, Arja atau nama asalnya Azharuddin Ramli tidak peduli soal jumlah bayaran yang diletakkan pelantun lagu Semalam itu asalkan dapat berjumpa dengannya.
“Saya ingin menyanyikan lagu dia dan ingin buktikan keupayaan suara saya. Berapa pun caj, saya sedia untuk membayar. Tolong ciptakan lagu untuk saya.
“Saya tak pernah berjumpa dia. Saya tak tahu macam mana nak aturkan perjumpaan dengannya.
“Kalau genre sudah pasti saya mahu lagu balada dan lagu paling saya minat Jangan Mati Rasa Itu,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Arja berjaya melancarkan beberapa buah single seperti Cerita Pada Mereka, Bintang Malam, Berpulang dan Budak Nakal.
Dalam perkembangan lain, Arja kini sedang mempromosikan filem berjudul Sayu Yang Syukur yang dianggap sebagai buah tangan baharu buat peminat.
“Sebenarnya, sudah agak lama saya berdiam diri disebabkan beberapa perkara termasuk melanjutkan pelajaran dan menjadi tenaga pengajar.
“Kini saya kembali ke dalam industri dengan filem yang saya lakonkan pada lapan tahun lalu. Ini merupakan hadiah buat peminat,” jelasnya.
Selain Arja, filem tersebut dibintangi Datuk Aaron Aziz yang juga berperanan sebagai pengarah, Nora Danish, Fairie Khalil, AR Badul dan ramai lagi.
Sayu Yang Syukur akan menemui penonton pada 28 Disember ini di pawagam seluruh Malaysia. -KOSMO! ONLINE