fbpx

Cub Prix bentang SOP baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALENDER Cub Prix musim ini berbaki empat perlumbaan dan semua pasukan bertanding berharap ia dapat dihabiskan dengan SOP baharu yang akan dikemukakan.

PERTANDINGAN perlumbaan motosikal berpeluang cerah untuk dianjurkan semula di negara ini selepas penganjur Kejuaraan Cub Prix bakal melakukan pertemuan dua mata dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) minggu depan bagi mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MMRA), Shahrol Yuzy Zaini berkata, pihaknya berlapang dada dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan berharap SOP terbaharu dapat memuaskan hati Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya berterima kasih kepada MKN, apa yang mereka terangkan semalam (kelmarin) sangat jelas mengenai SOP yang diguna pakai dalam perlumbaan sebelum ini. Saya lihat masih ada sinar baki empat perlumbaan Cub Prix dapat diteruskan.

“Pada Rabu ini, saya dan penganjur Cub Prix akan mengadakan pertemuan dengan KBS dan menyerahkan SOP baharu itu dalam mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jelas Yuzy, antara SOP yang mereka gunakan dalam perlumbaan itu nanti adalah berbeza daripada yang lalu dan baki empat perlumbaan akan dianjurkan dalam tempoh seminggu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Apa yang saya boleh katakan perlumbaan tidak sama seperti dahulu. Baki empat perlumbaan Cub Prix nanti akan berlangsung dalam tempoh seminggu dan semua pelumba berkumpul di tempat yang sama.

“Perlumbaan akan berlangsung di Litar Sepang, jadi saya lihat tiada masalah ia dapat diteruskan mengikut SOP yang ketat.

“Jika perlumbaan diteruskan ia dapat menyelamatkan karier pasukan dan pelumba daripada jatuh muflis. Ini adalah pilihan terakhir yang saya boleh ikhtiarkan.

“Kita akan cuba habiskan perlumbaan Disember ini dan sekiranya dibawa ke tahun depan ia mendatangkan kerugian besar kepada pasukan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI