PETALING JAYA – Rata-rata penduduk Pangsapuri Idaman di Damansara Damai di sini meluahkan rasa bimbang dan takut untuk membiarkan anak mereka bermain atau keluar rumah selagi pembunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin belum diberkas.
Penduduk mengatakan bukan sahaja budak, malah orang dewasa turut tidak mengambil masa lama berada di luar walaupun pergi membuang sampah.
Seorang penduduk, Rohani Rabbani, 57, berkata, ketika ini dia takut untuk membiarkan cucu-cucunya bermain di kawasan perumahan seperti kebiasaan selepas berita pembunuhan kejam itu tersebar di seluruh negara.
Katanya, kawasan yang sebelum ini tenang dan aman kini bertukar sebaliknya kerana penduduk bimbang pembunuh sebenar kanak-kanak malang itu masih bebas.
“Sekarang memang takut hendak bagi anak cucu keluar walaupun nak bermain di taman permainan hadapan rumah.
“Bukan budak kecil sahaja, saya sendiri pun ahli keluarga risau keluar lama-lama walaupun sekadar mahu buang sampah,” katanya ketika ditemui.
Menurut Rohani, sebagai wanita dan nenek dia tidak dapat hendak menggambarkan bagaimana sengsara yang dihadapi Zayn Rayyan kerana dia tidak menyangka kanak-kanak itu mati dibunuh.
Tambahnya, selepas kejadian itu, hampir kesemua penduduk terutamanya ibu bapa akan memegang tangan anak mereka sekiranya berjalan di luar.
“Saya antara penduduk yang turut sama dalam misi pencarian Zayn Rayyan pada malam Rabu lalu. Ibunya (Ismanira Abdul Manaf, 28) sempat berpaut pada saya sebelum terjatuh kerana terkejut dengan perkhabaran buruk malam itu,” katanya.
Semalam Kosmo! kes penemuan mayat Zayn Rayyan diklasifikasikan semula sebagai bunuh apabila terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dipetik sebagai berkata, pihaknya percaya Zyan Rayyan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di anak sungai berhampiran apartmen tersebut.
Bedah siasat turut menemui kesan ‘defensive wound’ pada tubuhnya yang membuktikan berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek.
Bagaimanapun, Mohd. Shuhaily enggan memperincikan kesan itu demi menjaga maruah arwah dan keluarganya.
Sementara itu, seorang peniaga, Azlin Shah, 47, berkata, kedua ibu bapa mangsa sempat bertanyakan mengenai Zayn Rayyan kepadanya sebelum membuka cerita tentang kehilangan anak istimewa mereka itu.
“Ketika ditanya, saya memang tidak tahu apa-apa sebab saya pergi solat di masjid dan baru buka kedai selepas tiga hari tidak berniaga.
“Masa malam kejadian, ramai yang hulur bantuan untuk mencari bersama anggota-anggota yang bertugas. Apa yang pelik ialah kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan itu telah banyak kali diperiksa tetapi tidak berjumpanya ketika itu,” katanya.
Menurut Azli, bertambah curiga sebaik sahaja polis mengumumkan untuk membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah, jasad Zayn Rayyan terus ditemui di kawasan anak sungai itu.
Tambahnya, tragedi itu pertama kali berlaku sepanjang 11 tahun dia menetap di situ.
“Sejak 2004, ini kali pertama saya dengar ada budak kena bunuh. Lagipun, kawasan penemuan mayat itu bukanlah lokasi yang sering dikunjungi kanak-kanak.
“Tak ramai ke kawasan sana sebab agak mistik. Ada penduduk sini tak tahu pun mengenai kewujudan sungai kecil itu,” katanya.














