JAKARTA – Satu video tular yang memaparkan kelibat dipercayai puntianak sedang bertenggek di atas papan tanda sebuah pasar mini meresahkan penduduk setempat sehingga memaksa polis campur tangan, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di hadapan pasar mini di Wiyung, wilayah Jawa Timur.
Video berdurasi sembilan saat itu menunjukkan susuk menyerupai puntianak di hadapan pasar mini berkenaan ketika waktu malam.
“Cik Pon (puntianak) di rumah kosong (tidak), Cik Pon di pasar mini (ya),” demikian menurut keterangan video tersebut.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh Detik, terdapat sebuah bangunan kosong di sebelah pasar mini tersebut yang sudah dirobohkan beberapa bulan lalu.
Turut kelihatan di hadapan premis tersebut ialah sebatang pokok rendang.
Namun, menurut cerita penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat sebarang penampakan makhluk halus di kawasan tersebut sebelum ini.
Seorang pekerja pasar mini berkenaan, Vira, turut mendedahkan bahawa dia tidak pernah melihat sebarang kelibat misteri ketika pulang dari kerja pada waktu malam.
“Mungkin yang merakam hanya berhalusinasi,” ujarnya.
Selepas video itu menjadi tular, polis setempat mula campur tangan dan menyiasat perkara tersebut.
Seorang pegawai polis setempat, Doni Widodo berkata, pihaknya meminta masyarakat agar menggunakan platform media sosial dengan bijak dan tidak mencari keuntungan semata-mata daripada kandungan video. – AGENSI