HANOI – Sebuah restoran di wilayah Thanh Hoa, tengah Vietnam bertindak memulangkan 270 juta dong (RM51,943) kepada seorang wanita yang secara tidak sengaja memindahkan 1,000 kali ganda kos hidangan yang dimakan, berharga cuma 270,000 dong (RM51.94), lapor portal berita VNExpress semalam.
Wanita itu, Nguyen Thi Thu Trang menerima kembali wangnya daripada Hoang Hiep yang merupakan pemilik restoran Lan Ngan. Dia menerima kembali wang tersebut di sebuah balai polis tempatan petang semalam.
Trang, 40, berkata, kelmarin seorang rakannya menghantar mesej daripada pemilik restoran itu menyatakan bahawa dia mahu memulangkan wang kepada sesiapa yang membuat bayaran wang berlebihan pada 24 November lalu.
Wanita itu kemudian mendapati masa dan tempat dia makan itu pasti restoran tersebut.
Trang kemudian menyemak baki akaun bank miliknya dan mendapati dia memang telah membuat kesilapan pemindahan wang tunai sebelum menghubungi restoran tersebut.
Dalam pada itu, pemilik restoran itu terpaksa menolak beberapa orang yang menyamar bagi mendapatkan baki wang wang tunai tersebut.
Trang berkata, insiden restoran itu bukanlah kesilapan pertamanya kerana dia telah memindahkan 197 juta dong (RM37,899) baru-baru ini kepada penghantar barangan untuk tempahan pakaian hanya berharga 197,000 (RM37.90).
Namun, penghantar barangan itu bertindak mengembalikan wang itu kepadanya. – AGENSI