PETALING JAYA – KPJ Healthcare Berhad (KPJ) yang merekodkan prestasi kewangan cemerlang bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 menganggap ini sebagai satu permulaan kepada kumpulan untuk terus mengembangkan perniagaannya.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Chin Keat Chyun berkata, perancangan hala tuju yang sudah dirangka untuk tahun depan bakal memfokuskan usaha kepada mendalam kecekapan operasi, memperkasa transformasi digital dan mengukuhkan kedudukan kami dalam segmen pelancongan kesihatan.
“Pelaksanaan pelupusan operasi hospital di pasaran Indonesia merupakan langkah strategik, yang mana ia membolehkan kami memberi tumpuan kepada perniagaan utama dalam pasaran domestik.
“Keputusan ini sejajar dengan fokus strategi kewangan kami untuk menembusi pasaran Malaysia yang dilihat memiliki potensi besar untuk memacu pertumbuhan mampan dan inovasi.

“Dengan menyelaras semula portfolio yang lebih bersepadu, kami berupaya menyalurkan sumber dan pelaburan secara lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Keat Chyun menerangkan, pendekatan ini adalah kunci untuk memastikan KPJ Healthcare bukan sahaja mampu mengekalkan momentum malah dapat mengoptimumkan kecemerlangan prestasinya daripada segi kewangan dan penjagaan kesihatan.
Tambah beliau, penyelarasan operasi yang strategik adalah asas penting untuk merencana usaha berterusan Kumpulan bagi memupuk inovasi dalam penjagaan kesihatan yang unggul sekali gus meningkatkan nilai yang diberikan kepada kesemua pemegang saham dan pesakit.
“Menerusi usaha ini, KPJ Healthcare berdedikasi untuk meningkatkan standard penjagaan kesihatan, prestasi operasi dan memacu inovasi, serta pada masa yang sama turut mengekalkan komitmen yang teguh dalam mendukung kelestarian dan tanggungjawab sosial,” ujarnya.
KPJ melaporkan pendapatan kukuh berjumlah RM925.4 juta bagi S3 Tahun kewangan 2023, dengan pertumbuhan sebanyak 16 peratus berbanding RM798.7 juta yang dicatatkan pada suku ketiga Tahun Kewangan 2022 .
Jumlah keuntungan selepas cukai dan keuntungan sebelum cukai masing-masing meningkat kepada RM97.3 juta dan RM133.1 juta. -KOSMO! ONLINE














