S. Gunasegaran diiiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.

Penganggur didakwa ugut, libas parang dekat jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang penganggur berdepan hukuman penjara 17 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melibas sebilah parang dan mengugut untuk membunuh jirannya, pada awal bulan ini.

Tertuduh, S. Gunasegaran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dalam milikannya terdapat sebilah parang panjang berhulu putih dengan ukuran lebih kurang 85 sentimeter telah menggunakan senjata itu untuk melibas ke arah pengadu, M. Ulaganathan, 50.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah melibaskan senjata tersebut dan mengeluarkan ugutan untuk mencederakan mangsa.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun yang mana jika ugutan hendak menyebabkan kematian, cedera parah, atau kebinasaan dengan api, atau kesalahan yang boleh dihukum dengan bunuh atau penjara mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 1.30 petang di Tanjung Kling, dalam daerah Melaka Tengah pada 1 November lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh tidak berpuas hati terhadap pengadu yang didakwa telah menyusahkan ibunya.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau meminta jaminan bersyarat diberikan.

Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh kemudian merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan menanggung isteri seorang orang kelainan upaya (lembam) dan empat anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5, 000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan 24 Disember depan sebagai sebutan semula kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN