Tindakan remaja bawah umur memandu kereta tanpa lesen ternyata mengancam nyawa orang lain. Mereka tidak layak untuk berada di atas jalan dan ‘haram’ memegang stereng.
Dalam tempoh sebulan ini, tiga nyawa insan tidak bersalah terkorban selepas dipercayai dilanggar kereta yang dipandu remaja bawah umur.
Pada 22 Oktober lalu, seorang wanita maut, manakala kakaknya parah selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.
Paling menyedihkan apabila suaminya sempat membisikkan kalimah dua kalimah syahadah kepada isterinya berusia 32 tahun yang masih bernyawa ketika itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Siasatan polis mendapati, nahas berlaku apabila pemandu kereta itu yang hilang kawalan telah melanggar pembahagi tengah jalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.
Satu lagi kes pada 11 November lalu. Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta ibunya merempuh sebuah motosikal yang ditunggang pasangan bakal bertunang di Jambatan Pulau Pinang.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu remaja terbabit melanggar belakang sebuah lori sebelum hilang kawalan dan merempuh motosikal mangsa. Akibat rempuhan remaja tiada lesen memandu itu menyebabkan pasangan berusia awal 20-an tersebut terbunuh sebelum sempat bertunang.
Ini antara kisah sedih melibatkan kematian insan tidak bersalah. Lesen memandu wajib untuk mereka yang ingin membawa kenderaan tidak kira kereta atau motosikal kerana ia bukti anda lulus ujian memandu.
Mereka yang tiada lesen bagai orang pandu kereta dengan mata terpejam, redah sana sini asalkan boleh jalan. Mereka tiada ilmu tentang pemanduan dan tidak tahu peraturan trafik, misalnya bagaimana cara mahu keluar masuk simpang, memintas kenderaan atau memandu dalam keadaan selamat.
Selain salah mereka, ini juga salah ibu bapa. Ada penjaga yang selamba membenarkan anak bawah umur memandu kereta tanpa lesen, asalkan anak sudah pandai pegang stereng, tekan pedal minyak dan brek, ‘lesen mak bapak’ dianugerahkan.
Malah, ada ibu bapa yang sempat berpesan kepada anak-anak bawah umur yang memandu kereta supaya berhati-hati dengan polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan, takut nanti kena saman atau naik mahkamah.
Mereka bukannya takut jika anak terlanggar orang lain sehingga ada isteri menjadi janda, suami menjadi duda dan anak-anak menjadi yatim piatu.
Maka, hukuman berat perlu dikenakan terhadap pemandu bawah umur yang cuai sampai menyebabkan kematian orang lain.
Begitu juga dengan ibu bapa yang membenarkan anak memandu kereta perlu dikenakan tindakan tegas. Moga tiada lagi nyawa insan tidak bersalah melayang di atas jalan raya.














