KETIKA ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi satu ketika dahulu, beliau mengakui pernah berdepan kesukaran untuk mendapat tempat di universiti awam.
Bukan kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memberangsangkan, tetapi perkara itu berlaku kerana kesulitan berikutan dia datang daripada masyarakat minoriti di Malaysia iaitu India Muslim.
Walaupun akhirnya berjaya menjejak kaki ke menara gading, Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Shaik Faridhudheen Anverdeen berkongsi, apa yang dilaluinya adalah situasi yang sejak dahulu dan berlarutan sehingga kini.
“Menjadi kumpulan minoriti telah meletakkan kami dalam situasi yang berbeza berbanding rakyat lain, terutama dalam hal ehwal kemudahan sosial termasuk pendidikan.
“Seperti apa yang saya lalui, selepas tamat SPM, peluang untuk ke institusi pengajian tinggi awam adalah sukar kerana golongan India Muslim tidak mempunyai kuota penempatan dan perlu bersaing dengan pelajar bukan bumiputera,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, susulan itu beliau mengambil pengalaman hidup itu sebagai perjuangan buat komunitinya menerusi penglibatan bersama Permim yang disertai sejak usia remaja.
Permim merupakan sebuah badan induk yang menggabungkan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai wakil NGO untuk India Muslim di seluruh Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 1973, Permim mendukung tujuan mengatur dan menjalankan aktiviti bagi mempromosi kesejahteraan agama, sosial, ekonomi, pendidikan serta budaya khususnya buat ahli-ahlinya termasuk umat Islam di Malaysia amnya.
Selain itu, pertubuhan itu juga membawa objektif untuk diiktiraf oleh kerajaan dan semua agensi lain sebagai organisasi bukan politik yang sah mewakili pandangan, aspirasi serta kebimbangan masyarakat.
Menurut Shaik Faridhudheen, kewujudan Permim bertitik tolak pada 1970-an apabila kaum minoriti India Muslim berasakan keperluan untuk suara yang lebih kuat bagi melindungi kepentingan kumpulan itu.
“Inspirasi untuk membentuk Persekutuan bagi membawa Pertubuhan India Muslim yang pelbagai di bawah satu payung didorong oleh Datuk Mohamed Iqbal, S.A. Mohamed Ishack dan A.E. Mohamed Ibramim menerusi Persatuan Progresif Islam Perak, Taiping (PMPAT).
“Pada 22 September 1969, satu konvensyen telah diadakan di Masjid India Muslim di Taiping apabila mesyuarat sebulat suara mengiktiraf keperluan untuk pembentukan satu badan kebangsaan,” ujarnya.
Tambahnya, mandat untuk melaksanakan keputusan itu diberikan kepada Persatuan India Muslim Selangor (SIMA) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Kongsi beliau, pada tahun 1971, SIMA mengadakan mesyuarat untuk memilih jawatankuasa prapenggal bagi pembentukan sebuah badan kebangsaan. Mesyuarat telah diadakan di Masjid India, Kuala Lumpur dan sebulat suara memilih Tan Sri. S.O.K Ubaidulla sebagai Presiden pertama, manakala Datuk Mohamed Iqbal menggubal perlembagaannya.
Sepanjang lima dekad perjuangan Permim, pertubuhan itu berdepan pelbagai cabaran dalam membawa suara masyarakat India Muslim.
Berkongsi pengalaman bersama Permim, bekas Presiden, Dhajudeen Shahul Hameed menyatakan sejak awal, pertubuhan itu membawa hasrat untuk memberi masa depan yang lebih baik buat masyarakat India Muslim.
“Komuniti India Muslim telah menetap di negara ini sejak lima abad yang lalu dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara serta mengamalkan budaya Melayu.
“Bagaimanapun, peralihan zaman menjadikan kami tenggelam dalam tangga sosial selain tidak dikategorikan sebagai bumiputera,” jelasnya.
Mengulas lanjut, hasrat menjadikan masyarakat India Muslim sebagai golongan bumiputera merupakan langkah untuk menjamin kebajikan kumpulan minoriti itu sekali gus mengubah kedudukan mereka sebagai masyarakat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya yang merupakan presiden ke-10 Permim, perkara utama yang diketengahkan adalah aspek pendidikan buat generasi muda India Muslim yang perlu diberi peluang seperti golongan bumiputera.
Mengulas mengenainya, Shaik Faridhudheen turut berpandangan yang sama tentang perkara tersebut yang mana pada pendapat beliau, pendidikan merupakan kunci untuk mengubah kehidupan masyarakat.
Hurainya lagi, hal ini berikutan sekiranya dalam keluarga mempunyai seorang anak yang berjaya dalam pendidikan, mereka berpeluang mendapat kerjaya lebih baik untuk mengubah nasib keluarga.
“Kita mementingkan pendidikan untuk membawa generasi muda meraih kejayaan bukan saja buat diri sendiri tetapi menaikkan taraf kehidupan keluarga mereka.
“Oleh demikian, menerusi Permim, kita juga banyak menganjurkan aktiviti buat generasi muda untuk memupuk motivasi dalam pendidikan serta menanam semangat patriotisme supaya suatu hari kelak mereka berbakti semula kepada keluarga dan negara,” kongsinya.
Selain menumpukan kepada pendidikan, Permim turut merencana pelbagai usaha untuk membantu masyarakat India Muslim khususnya dari sudut ekonomi.
Hal ini dilakukan menerusi pelbagai bentuk bantuan untuk menyuntik sama ada modal atau kelengkapan diperlukan bagi menjana ekonomi keluarga.
Kongsi Shaik Faridhudheen lagi, Permim turut prihatin dalam aspek kebajikan dengan memberikan bantuan kepada asnaf dan keluarga yang terjejas akibat musibah.
“Sebagai badan induk, kita akan berusaha untuk membantu dalam pelbagai aspek dan hal ini menjadi sebahagian daripada gerakan Permim sejak 50 tahun ditubuhkan.
“Kita sentiasa berusaha untuk membawa suara komuniti dan pada masa sama membuka pintu buat golongan yang memerlukan sedaya upaya kami,” jelasnya.
Sempena 50 tahun penubuhan Permim tahun ini, Shaik Faridhudheen berharap agar masyarakat India Muslim dapat merasai perubahan taraf hidup yang lebih baik serta pada masa sama membangun dan membantu memajukan negara.
Permim akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.
















